Wushu senarai sembilan atlet ke Sukan SEA Filipina 2019

No Image Caption
A
A
A

SKUAD wushu negara membariskan sembilan atlet terbaik bagi menggalas cabaran negara di temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Ini merupakan penyertaan terkecil skuad negara dalam acara wushu di temasya dwitahunan itu selepas menampilkan 20 atlet pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt berkata, mereka yang tersenarai terdiri daripada lapan atlet lelaki dan seorang atlet wanita masing-masing dalam disiplin Sanda dan Taolu.

Walaupun sukar untuk menetapkan sasaran pingat memandangkan empat juara dunia negara tidak disenaraikan, skuad negara tetap akan cuba menghadiahkan pingat buat kontinjen negara, katanya di sini hari ini.

Mereka yang tersenarai adalah Teh Chee Chong, Lee Wei Loong, Kelvin Teng Kai Wen dan Chong Jian Hwa dalam disiplin Sanda sementara juara dunia 2016 Wong Weng Son, Yeap Wai Kin, Loh Choon How, Calvin Lee Wai Leong dan Sydney Chin Sy Xuan (wanita) dalam disiplin Taolu.

Menurut Chong, skuad negara ketika ini mendapat sentuhan bekas juara dunia, Mao Ya Qi bagi memantapkan persiapan dari segi teknikal sebelum menyertai saingan di Kejohanan Dunia 2019 di Shanghai, China, dari 20 hingga 23 Okt ini sebelum ke Sukan SEA.

Untuk rekod, pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, Malaysia meraih enam daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dalam acara wushu.

Sukan SEA 2019 Filipina akan berlangsung dari 30 Nov hingga 11 Disember ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!