Kes Adib: JBPM pertimbang kemuka hujah bertulis

Mohammad Hamdan Wahid
Mohammad Hamdan Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan hujah bertulis kepada mahkamah berkaitan kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid bagaimanapun berkata, keputusan berhubung perkara itu bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang dilantik kerajaan.

“Kita akan berbincang dengan DPP yang dilantik ini adakah keperluan untuk hujah bertulis ini dan sebagainya. Ia masih dalam pertimbangan dan belum ada keputusan.

“Bagaimanapun, kita berharap kes dapat diselesaikan dengan cara terbaik dan keadilan dipelihara demi keadilan kepada Allahyarham Adib,” katanya pada sidang akhbar Majlis Apresiasi Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019, di Kompleks Kuaters JBPM di sini hari ini.

Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk menutup prosiding perbicaraan inkues kes Muhammad Adib setelah tiada lagi saksi yang dipanggil.

Prosiding yang bermula 11 Februari lepas menyaksikan 30 saksi dipanggil memberi keterangan dan 41 hari perbicaraan serta 137 eksibit.

Berikutan itu, mahkamah menjemput pihak-pihak berkepentingan untuk membuat hujahan yang ditetapkan pada 21 Ogos depan.

Setakat ini, pasukan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib dijangka akan memfailkan hujahan bertulis kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ditanya mengenai inisiatif badan bukan kerajaan, Gagasan Tiga (G3) menubuhkan jawatankuasa khas untuk membawa kes Adib ke pengadilan antarabangsa, beliau menyerahkan keputusan mengenai perkara itu kepada pihak terlibat.

“Ini adalah hak badan-badan tertentu. Kita tak boleh sekat atau galakkan. Apa yang boleh dinyatakan supaya keadilan Adib diperjuangkan secara optimum,” katanya.

Terdahulu lebih 100 hadir ke perhimpunan aman anjuran G3 yang diadakan di Kampung Baru untuk menuntut keadilan terhadap Allahyarham Muhammad Adib selain turut mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!