Kes tiga ancaman bom di KL: Polis teliti CCTV kenal pasti suspek
KUALA LUMPUR - Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek yang meletakkan objek dipercayai alat Letupan Termampat (IED) di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan masih giat dilakukan bagi mengetahui motif dan mengapa IED itu berada di lokasi terbabit.
"Kita teliti semua CCTV di kawasan sekeliling dan kita minta orang ramai yang ada maklumat tentang kejadian itu untuk tampil bantu siasatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiga ancaman bom di Kuala Lumpur
"Polis juga telah merekodkan keterangan pemilik kediaman tersebut untuk ketahui lebih lanjut kejadian, namun setakat ini tiada lagi bukti kukuh yang mengaitkan kes itu dengan unsur jenayah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mazlan berkata, polis turut meminta masyarakat usah bimbang dan segera melaporkan kepada pihaknya sekiranya melihat kehadiran individu yang mencurigakan.
Selain itu, Mazlan turut menegaskan bahawa kes penemuan IED itu tiada sebarang kaitan dengan serangan siri letupan bom yang berlaku di Bangkok, Thailand, semalam.
Terdahulu, IED itu ditemui orang awam pada 5 petang sebelum Unit Pemusnah Bom (UPB) dikejarkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan mengesahkan objek ditemui itu adalah IED tidak sempurna.
Kemudian, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerima maklumat daripada pihak MRCB KL Sentral mengatakan terdapat ancaman bom diletakkan di sekitar KL Sentral.
Maklumat itu dihantar melalui laman Twitter iMais-Uma Agencia Sincera@aganciaimais, pada 7.21 malam dan ia dipercayai palsu selepas pemeriksaan yang dilakukan polis tidak menjumpai sebarang objek mencurigakan.
Bagi kes ketiga, Polis Kuala Lumpur turut menerima ancaman sama di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang dan siasatan mendapati ia adalah palsu.
"Siasatan juga dijalankan terhadap pemilik Twitter itu. Ketiga-tiga kes ini tiada kaitan dan keadaan di ketiga-tiga tempat ini terkawal dengan kawalan pihak polis.
"Saya tegaskan orang ramai usah tularkan perkara-perkara yang tidak betul bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!