Tiada kes culik di Bertam Putra, Bertam Perdana

Polis berjaya menahan dua wanita yang memandu kereta Nissan Sunny untuk siasatan lanjut. (Gambar kecil: Noorzainy)
Polis berjaya menahan dua wanita yang memandu kereta Nissan Sunny untuk siasatan lanjut. (Gambar kecil: Noorzainy)
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menafikan berlaku kes penculikan kanak-kanak di kawasan Bertam Putra di sini menggunakan kereta Nissan Sunny seperti yang ditularkan dalam media sosial beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kes tersebut didapati tidak benar dan tidak berlaku seperti yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, dari hasil maklumat yang diperolehi, pihaknya berjaya menahan dua wanita berusia 30an yang menggunakan kereta Nissan Sunny tersebut.

"Siasatan awal mendapati, kereta tersebut dibeli daripada anak saudara salah seorang wanita tersebut.

"Mereka juga mengakui menggunakan kereta Nissan Sunny seperti yang ditularkan namun tiada kaitan dengan isu penculikan seperti itu.

"Sehubungan itu, kes penculikan yang ditularkan adalah tidak benar dan tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku pada tarikh dan masa seperti yang ditularkan," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata demikian selepas penahanan dua wanita yang menggunakan kereta berwarna perak tersebut hari ini.

Noorzainy berkata, kedua-dua wanita itu kini direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

"Kita menahan reman terhadap dua wanita itu adalah untuk mengetahui tujuan mereka merayau di kawasan perumahan.

Artikel Berkaitan:

"Saya menasihatkan kepada orang ramai agar jangan mudah terpengaruh dengan isu ditular yang masih belum ada kesahihan dari pihak berkuasa.

"Orang awam juga dinasihatkan agar berhubung terus dengan polis untuk mendapatkan kepastian dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah SPU di talian 045762222.

"Bagaimanapun, terima kasih kepada orang awam serta komuniti yang selalu menyalurkan maklumat dalam usaha pembenterasan jenayah," katanya.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp rakaman suara dari seorang wanita yang mendakwa berlaku kes penculikan kanak-kanak di kawasan Bertam Putra dan Bertam Perdana oleh seorang lelaki yang menaiki kereta Nissan Sunny berwarna perak.

Rakaman suara berdurasi satu minit 38 saat oleh wanita itu mendakwa, dia mendapat panggilan dari seorang kenalannya mengatakan seorang lelaki memandu Nissan Sunny sedang berlegar-legar di kawasan perumahannya.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, wanita tersebut bergegas pulang dan terserempak dengan kereta tersebut namun pemandu terus memecut keretanya.

Wanita itu juga mendakwa, ketika dia ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kes tersebut, ada anggota polis memberitahunya berlaku satu kes penculikan di taman perumahan yang didiaminya pada minggu lalu.