Menyamar alim curi tabung masjid

Arshad (dua dari kanan) melihat peralatan yang didakwa digunakan suspek untuk mencuri tabung masjid dan surau sekitar daerah ini.
Arshad (dua dari kanan) melihat peralatan yang didakwa digunakan suspek untuk mencuri tabung masjid dan surau sekitar daerah ini.
A
A
A

JASIN - Taktik seorang lelaki yang menyamar berperwatakan alim untuk mencuri duit tabung masjid di sekitar daerah ini sejak tahun lalu akhirnya terbongkar.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, lelaki berusia 45 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur itu diberkas selepas pihaknya menerima laporan daripada jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Kampung Chabau mengenai kehilangan dua tabung, bulan lalu.

Menurutnya, dua laporan polis itu dibuat apabila wang derma orang ramai kira-kira RM3,000 didapati hilang dan keesokannya pula sejumlah RM2,500 lesap daripada tabung Palestin.

Katanya, bertindak atas maklumat dan kerjasama daripada kariah, pihaknya dapat mengenal pasti seorang lelaki asing datang ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat sebelum kejadian.

"Siasatan dilakukan membawa kepada penangkapan suspek yang menyewa di sebuah rumah di Kesang Jasin.

"Turut ditemui beberapa peralatan digunakan untuk memecah tabung, selain merampas sebuah motosikal dalam serbuan 17 Julai lalu, sekitar jam 8 malam," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.

Baju dan kain pelekat dipakai suspek ketika datang ke masjid itu untuk mencuri duit tabung.
Baju dan kain pelekat dipakai suspek ketika datang ke masjid itu untuk mencuri duit tabung.

Artikel Berkaitan:

Arshad berkata, hasil siasatan awal, suspek dipercayai terlibat kira-kira 14 kes pecah tabung masjid dan surau di sekitar Selandar, Kemendor, Chabau, Kesang serta Nyalas.

Tambahnya, suspek aktif melakukan kegiatan itu sejak akhir tahun lalu sehinggalah dia tertangkap.

"Siasatan masih lagi diteruskan. Suspek masih direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Semakan mendapati dia turut mempunyai empat rekod jenayah lampau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!