Menyamar jadi waris minta derma
DUNGUN - Terdapat individu didapati menyamar sebagai waris kepada tiga pekerja resort yang hilang di perairan Pulau Tenggol di sini Rabu lalu untuk meminta derma.
Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Baharudin Abdullah berkata, berdasarkan maklumat diterima, terdapat individu yang menyamar sebagai waris mangsa dan meminta bantuan kewangan daripada seseorang.
“Kita sudah dimaklumkan tentang helah itu namun tiada laporan polis yang dibuat setakat ini. Jika ada laporan dibuat, kita akan siasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Helah yang dibuat itu sangat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku. Keluarga mangsa sedang bersedih di atas insiden tersebut. Sepatutnya kita perlu memberikan sokongan moral kepada keluarga terbabit dan bukannya mengambil kesempatan,” katanya.
Menurutnya, taktik itu diketahui apabila terdapat individu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seseorang yang mendakwa dirinya merupakan waris kepada seorang mangsa yang tinggal di Johor.
Katanya, individu yang kononnya waris mangsa itu meminta derma untuk membiayai perjalanannya ke Dungun.
Baharudin berkata, individu yang ingin membantu keluarga terbabit perlu mengikut saluran betul seperti melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau wakil yang boleh dipercayai.
Beliau berkata, orang ramai yang menerima sebarang mesej meragukan meminta derma diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi membuat laporan mengenai penipuan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!