PASIR MAS - Tahap kesedaran jenayah seksual dalam kalangan remaja terutama di peringkat sekolah menengah perlu dipertingkatkan bagi memastikan golongan tersebut memahami isu berkenaan dengan lebih jelas. Yang Dipertua Pertubuhan Anak Yatim Miskin Kelantan (Payatim Kelantan), Md Nor Jusoh berkata, pemahaman secara jelas itu merupakan keperluan mendesak dalam usaha mengelakkan golongan tersebut menjadi mangsa jenayah seksual. “Dalam dunia moden tanpa sempadan hari ini, kita berdepan dengan cabaran yang cukup tinggi untuk menangani isu jenayah seksual. "Tanpa ilmu yang cukup, kita bimbang ramai yang akan menjadi mangsa," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Forum Jenayah Seksual Dalam Kalangan Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu. Forum itu menampilkan empat ahli panel iaitu Pensyarah Perubatan dan Perundingan Lakasi Pusat Pengajian Perubatan USM, Profesor Madya Dr Zaharah Sulaiman, Pengerusi Tetap MAYC Kebangsaan, Ir Moer Shamshir Meor Zulkefli, Pengarah Jabatan Guaman Kelantan, Auni Nordalina Ali dan Pakar Klinikal Perubatan Keluarga Daerah Pasir Mas, Dr Mohamad Faiz Mahayadin. Seramai 200 pelajar tingkatan empat dan lima menyertai forum tersebut. Md Nor berkata, lebih memburukkan keadaan apabila pelaku sanggup bertindak di luar kawalan dengan merakam dan menyebarkan perlakuan jenayah itu dengan tujuan mengaibkan mangsa. Justeru katanya, Payatim Kelantan sedia turun padang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk memberikan penerangan mengenai perkara tersebut. "Selain pelajar, ibu bapa juga perlu diberikan penerangan kerana mereka merupakan pelindung kepada anak-anak yang masih remaja," katanya.