Pemilik rumah jangan tamak

A
A
A

SATU pagi yang hening, setelah matahari memancar terik, digauli dengan keadaan jerebu yang menyesakkan dada, Encik Mat tenang menghirup segelas Nescafe. Sesekali di hela nafasnya seolah-olah menyesali sesuatu.

Entah apa yang disesali tiada siapa pula yang tahu. Seolah-olah cuba dipendam akan kekusutan di dalam hati. Tetapi sampai bila dapat bertahan untuk menanggung sendiri. Penanggungan yang menyeksakan itu perlu juga dilepaskan secara beransur-ansur supaya tidak membebankan jiwa raga.

Sekali lagi saya bertanya: “Kenapa Encik Mat? Tak sihat ke?”

Encik Mat diam membisu bagai tidak dihiraukan pertanyaan saya itu. Matanya seolah-olah merenung sesuatu tanpa hijab.

Terdengar keluhan yang berat sebelum Encik Mat mula membuka mulut: “Semalam ada orang PR1MA menelefon aku. Katanya aku layak untuk beli rumah pertama. Ngam-ngam gaji aku katanya. Cuma bank mungkin susah nak luluskan pinjaman.”

“Berapa gaji minima kalau hendak beli rumah PR1MA?”

“Bersih RM2,500. Tapi gaji aku bersih hanya RM1,800. Pegawai PR1MA suruh aku cari siapa-siapa yang boleh gabung pendapatan pula.”

“Kalau begitu cuba rumah PPRT. Mungkin boleh beli. Rumah murah,” kata saya pula.

Artikel Berkaitan:

“Rumah PPRT, aku tak layak. Gaji kasar perlu RM2,000 ke bawah rasanya,” kata Encik Mat lagi.

Begitulah kisah Encik Mat yang sangat berharap dapat membeli rumah pertama. Saya berharap Encik Mat dapat jodoh cepat yang mempunyai pendapatan tetap juga supaya bolehlah membeli rumah pertama hasil gabungan suami isteri nanti.

Baru-baru ini, saya berpindah rumah untuk kali kedua dalam masa enam bulan. Saya hanya menyewa. Hidup saya yang agak nomad dan minimalis menyebabkan saya masih belum membeli rumah. Saya juga tidak bercadang untuk menjadikan rumah sebagai aset. Setakat hari ini, itulah yang saya fikirkan.

Di Guar Chempedak, Kedah ini, bagi saya agak selesa untuk tinggal. Tidak terlalu sesak, masih nyaman dengan pemandangan Gunung Jerai dan kemudahan di sini lengkap juga.

Cuma untuk menyewa rumah di sini agak susah. Rata-rata menjadikan rumah yang dibeli sebagai homestay. Pada masa yang sama rumah sewa di sini menjadi rebutan. Mungkin sewanya agak murah dan tempat strategik.

Di Guar ini, banyak juga rumah kosong. Ada rumah kosong yang ditinggalkan tanpa dapat dikesan di mana pemiliknya. Ada yang pemiliknya sudah tua dan tinggal di pondok mengaji, namun rumah dibiarkan begitu sahaja.

Ada juga rumah yang sudah bersemak samun dengan kereta tersadai di dalam parkir rumah. Rumah-rumah ini hampir rosak dan menyebabkan ketidakselesaan pada jiran-jiran.

Ada juga taman-taman perumahan baharu yang dibina di sekitar Guar ini dan masih mempunyai banyak lagi rumah kosong yang tidak terjual. Mungkin disebabkan harga atau mungkin ada masalah lain juga.

Oleh itu, mungkin satu pendekatan atau penyelesaian perlu diambil, terutama rumah-rumah lama yang terbiar di taman-taman. Rumah-rumah itu mungkin boleh diambil oleh kerajaan, atau pemiliknya boleh mewakafkan kepada mereka yang memerlukannya.

Jadi eloklah kerajaan membuat undang-undang kepada mereka yang suka sangat meninggalkan rumah begitu sahaja, tanpa memberi sewa atau menjualnya terutama mereka yang ada banyak rumah ini.

Ini dapat memberi pengajaran kepada pemiliknya supaya lebih prihatin kepada jiran-jiran sekeliling. Dengan pendekatan begini juga, rumah-rumah terbiar dan terbengkalai dapat dikurangkan. Sedikit sebanyak juga dapat membantu orang seperti Encik Mat ini.

Jadi eloklah kerajaan membuat undang-undang kepada mereka yang suka sangat meninggalkan rumah begitu sahaja, tanpa memberi sewa atau menjualnya terutama mereka yang ada banyak rumah ini.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berkenalan, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!