Sebutan ‘payah’, jadikan pantang

A
A
A

SECARA azali, kita sebenarnya kuat. Apa yang menjadikan kita tidak kuat kerana lemahnya peribadi kesan langsung daripada lemahnya pemikiran dan berkeladaknya jiwa. Disebabkan inilah, kita mesti perkukuhkan diri agar sentiasa kuat dan tidak mudah goyah. Pun begitu, bukan mudah untuk kuat secara konsisten. Justeru, kita perlukan ilmu dan kemahiran untuk mendidik kita menjadi teguh, tekun, gigih serta tinggi daya tahan daripada segala dugaan dan kepayahan.

Sebetulnya, perkataan negatif sama ada dituturkan secara lisan atau hanya bermain dalam benak pemikiran akan memberi kesan langsung kepada emosi dan tingkah laku kita. Perkataan seperti, ‘payah’, ‘tidak boleh’, ‘mustahil’ serta pelbagai lagi sebutan yang negatif perlu dielakkan dan dinaratifkan semula kepada yang baharu. Kegagalan kita berbuat demikian menyebabkan sukar untuk meningkatkan potensi serta tidak yakin kepada kebolehan diri sendiri. Akhirnya kita akan menjadi lemah berpanjangan.

Berkaitan hal ini, daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda. “Mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh ALLAH daripada mukmin yang lemah dan pada keduanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah untuk mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada ALLAH (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali engkau berkata seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan jadi begini dan begitu, tetapi katakanlah, ini telah ditakdirkan ALLAH, dan ALLAH berbuat apa sahaja yang dia kehendaki, kerana ucapan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Mental

Menurut pakar psikologi, individu yang kuat dan lemah adalah berkaitan secara langsung dengan kekuatan mental mereka. Oleh itu, terdapat perbezaan yang ketara di antara individu yang mempunyai mental yang kuat dan lemah.

Antaranya, mental yang kuat sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan apa yang dihajatinya, tidak suka merayu, tahu menilai diri sendiri dan sentiasa sabar untuk mendapat sesuatu hasil manakala individu yang mempunyai mental yang lemah, sentiasa berasa dunia ini mereka yang punya, suka merayu, sentiasa perlukan perhatian orang lain dan tidak sabar untuk mendapatkan sesuatu hasil.

Selain itu, individu yang kuat mentalnya akan teruskan usaha walaupun gagal, hidup berpaksikan situasi semasa, bangga dengan kejayaan orang lain serta boleh bersendirian.

Namun, bagi individu yang mentalnya agak lemah, kebanyakan mereka mudah mengalah bila gagal, suka mengungkit peristiwa lalu, dengki dengan kejayaan orang lain serta sentiasa perlukan teman.

Ini bermakna, untuk menjadikan mental kita kuat, kita mesti menjadi kuat. Menurut Pendita Melayu Za’Ba, “Apabila terdapat sesuatu bangsa yang bergantung kepada kebolehan diri sendiri dan tidak hanya bergantung kepada orang lain, nescaya majulah mereka dan negeri mereka. Bangsa dan negeri mereka akan dipandang tinggi dan mulia.”

Menurut beliau lagi, “Individu yang tidak bergantung kepada kebolehan diri, sebenarnya lemah kepercayaan terhadap diri sendiri. Natijahnya, mereka tidak berdaya, tidak mampu berlumba serta tidak percaya mereka boleh menang dalam perlumbaan tersebut.” Malah, Menurut Pak Hamka yang telah memetik kata-kata Muhammad Ali Pasha, seorang gabenor kerajaan Ottoman pada tahun 1805-1848, “Kesempatan datang dengan tiba-tiba dan pergi pun dengan tiba-tiba pula. Orang yang berani menangkap kesempatan itulah yang sanggup menciptakan pekerjaan yang besar. Berikanlah aku kesempatan dan lemparkan aku ke laut.”

Artikel Berkaitan:

Malah, ALLAH berfirman, “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang dibebani dengan dosa yang berat mahukan (orang lain) untuk memikul bebannya sekalipun, ia tidak akan dipikulkan sedikitpun, meskipun (yang dipanggil itu) kaum kerabatnya...” (Surah Fatir, 35:18).

Justeru, adalah jelas bahawa kesemua perkara adalah di bawah tanggungan sendiri dan tiada siapa pun boleh menolong kita walaupun orang yang paling rapat. Ini bermakna, cukuplah kita berada dalam benteng kelemahan diri sendiri. Jangan berasa diri kita hebat selagi belum beralih berfikir dan bertutur dengan lebih positif.

Tidak perlu malu untuk menambah ilmu serta kemahiran untuk menjadi kuat. Kita perlu kuat bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk bangsa dan Negara. Cukuplah, hentikan menyebut ‘payah’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!