Perbezaan sebagai kunci kehidupan
PERSOALAN tentang bagaimana kepelbagaian budaya menjadi suatu benteng kepada perpaduan atau pembangunan masyarakat adalah sesuatu yang pelik.
Suatu kejahilan yang luarbiasa mungkin telah ditanam dalam sesebuah masyarakat jika inilah cara masyarakat itu berfikir.
Bagi Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya, kita mempunyai dua senario yang berbeza. Di negeri Sabah dan Sarawak, perbezaan dalam pelbagai budaya adalah suatu lumrah hidup. Bagaimanapun, ini tidak terjadi di kawasan yang bermasalah di Semenanjung Malaysia.
Kawasan itu telah menjadi panas apabila perbezaan dalam pelbagai budaya dijadikan sebagai tekanan utama dalam konflik kemasyarakatan antara kaum dan penganut agama.
Mungkin ada sesuatu yang salah dengan sistem pendidikan sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi orang di Malaysia di kawasan itu.
Dalam artikel ini, saya akan kemukakan contoh yang mudah tentang bagaimana perbezaan amat penting untuk mencapai kehidupan yang bermakna dan persamaan atau keseragaman adalah hambar seperti sebiji ‘durian muda’.
Dalam alam ini, terdapat banyak contoh tentang bagaimana perbezaan diperlukan untuk mencipta kehidupan dan memastikan kewujudannya.
Yang pertama, jikalau kita letak satu molekul oksigen dengan satu lagi molekul oksigen, kita tidak akan dapat sebarang reaksi.
Tetapi jikalau kita letak satu molekul oksigen dengan dua molekul hidrogen, air untuk kehidupan terjadi. Tanpa tindak balas kimia bagi dua elemen yang berbeza, dunia ini akan menjadi tandus seperti planet Marikh.
Tiada binatang, tiada manusia dan tiada tumbuhan akan wujud.
Oleh itu, jika kita letak seorang lelaki dengan seorang lagi lelaki atau haiwan jantan dengan seekor lagi haiwan jantan, tidak ada apa-apa yang akan dapat dihasilkan untuk mengekalkan kewujudan spesies itu.
Cuma kombinasi seorang lelaki dan seorang perempuan yang akan melahirkan keturunan dan kesinambungan spesies terjamin.
Dalam organisasi manusia seperti keluarga, syarikat dan institusi, perbezaan dalam bakat, perspektif dan sikap selalu berlaga untuk menghasilkan produk, proses dan kemajuan.
Apabila kita meletakkan orang yang mempunyai bakat, perspektif dan sikap yang sama, kita akan melahirkan seorang hamba atau sebuah tentera klon.
Saya setuju bahawa seorang hamba atau sebuah tentera klon boleh dibuat untuk mencapai banyak perkara tetapi ia memerlukan sebuah ‘sarang’ risikan untuk mengarahkan hamba atau tentera klon yang tidak berfikir ini.
Jikalau Nabi Muhammad SAW tidak berdakwah dengan mesej yang berbeza kepada orang Arab yang selesa dengan kehidupan menyembah patung dan perang antara kaum, tidak akan ada agama Islam di dunia moden ini.
Jikalau UMNO dan kelas menengah Melayu tidak memberontak terhadap Malayan Union negara Malaysia tidak mungkin terbentuk.
Cuba kita renung, jika semua anak-anak kita sama bijak, maka mereka akan meninggalkan rumah kita untuk kerjaya yang cemerlang. Perlu kita bersyukur kepada ALLAH untuk anak-anak yang kurang cemerlang yang duduk dengan kita dan menjaga kita pada hari tua.
Perbezaan
Di Malaysia, apakah kebaikan perbezaan dalam upacara amal, nilai dan kepercayaan? Kita mempunyai banyak cuti umum, banyak jenis makanan, banyak bakat dan banyak peluang pekerjaan di sektor swasta.
Dalam makanan, tanpa perbezaan kita akan makan nasi putih sahaja. Dengan daging yang dimasak berbeza, ikan, makanan laut dan tumbuhan, akan terdapat jenis-jenis kari yang berbeza, gulai lemak, asam pedas, sambal tumis, rendang, goreng kunyit dan beratus-ratus makanan etnik yang lain.
Dalam aspek bahasa, apa akan terjadi kepada Bahasa Inggeris tanpa banyak perkataan Sepanyol, Itali, Perancis dan German yang diterima pakai? Orang Melayu juga menyumbang satu atau dua perkataan kepada bahasa antarabangsa itu.
Cendekiawan sastera Melayu, Arwah Kassim Ahmad menyunting cerita klasik Hang Tuah dalam Bahasa Melayu yang mempunyai glosari daripada sembilan bahasa yang berbeza dalam dunia.
Bahasa Melayu mempunyai perkataan daripada bahasa Tamil, Cina, Sanskrit, Portugis, Arab, Jawa dan banyak lagi. Bahasa Melayu moden daripada Dewan Bahasa penuh dengan ‘pencerobohan’ perkataan Bahasa Inggeris.
Sebagai kesimpulan, pelbagai budaya adalah cara pertumbuhan alam semula jadi.
Oleh itu, ia harus menjadi sikap dan persepsi kita. Untuk menghargai kepelbagaian budaya dan menggunakan ia sebagai daya positif dalam pembangunan, kita perlu mengubah sistem pelajaran kita di sekolah, universiti dan institusi agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!