Ketua Jurulatih JDT tidak puas hati persembahan anak buah
JOHOR BAHRU - Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mengakui tidak berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi keseluruhan pasukannya, meskipun menang 3-1 ke atas UiTM FC dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia malam tadi.
Dalam perlawanan Kumpulan B, JDT memperoleh jaringan menerusi penyerang Brazil Diogo Santo pada minit ke-15 dan 85 serta Muhammad Safawi Rashid pada minit ke- 65.
Gol saguhati UiTM FC pula disumbangkan pemain import dari Montenegro, Zarko Korac dalam masa kecederaan.
“Kami sepatutnya menguasai dan mengawal sebahagian besar permainan, tapi saya rasa disebabkan kami berkelapangan beberapa hari (sebelum) jadi ada pemain yang mungkin tidak berada dalam prestasi terbaik untuk kembali beraksi.
"Kami tidak berpuas hati 100 peratus sebab saya tahu JDT boleh melakukan lebih baik lagi,” katanya kepada media selepas perlawanan itu.
Mora berkata, beliau percaya dalam perlawanan akan datang lebih banyak yang boleh dilakukan oleh The Southern Tigers.
"Selepas ini, kami akan berdepan PJ City FC. Pasukan ini berjaya mengalahkan kami dalam perlawanan sebelum ini tetapi kami tidak mahu membalas dendam kerana saya tidak percaya balas kepada dendam bola sepak.
"Saya hanya percaya pada permainan baru, permainan yang berbeza. Kami akan perbetulkan perkara yang kami tidak lakukan dengan baik dan pertingkatkan beberapa perkara lain yang perlu dipertingkatkan,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih UITM FC Ismail Zakaria menyifatkan persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya cukup membanggakan walaupun ramai daripada mereka baru 'setahun jagung' beraksi dalam Liga Premier.
“Mereka beri yang terbaik malam ini. Cuma kadang-kadang hanya peluang, kita ada peluang, satu dua daripada Park Yong Jun tetapi tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk gol.
”Saya akui ini tidak cukup. Mereka perlu lagi berlatih lebih lama dan perlu berada dalam Liga Premier sekurang-kurangnya setahun dua tahun untuk mematangkan mereka kerana kebanyakan mereka baru pertama kali bermain Liga Premier,” katanya.
Ismail berkata, dalam perlawanan seterusnya menentang PKNP dan PJ City, beliau akan berusaha memastikan anak buahnya bangkit mengutip mata kemenangan.
“Insya-ALLAH. Saya meletakkan sasaran dua pasukan itu. Bukan kata PKNP tidak bagus ataupun PJ City tidak bagus tapi sekurangnya saya boleh lawan untuk mengutip mata.
"Mungkin saya buat sikit penyesuaian untuk membolehkan kita mengutip tiga mata penuh,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!