Tulisan jawi: Pemimpin Melayu PH jangan 'menikus'

Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyalakan pelita gergasi sebagai simbolik pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyalakan pelita gergasi sebagai simbolik pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Semua pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) perlu berani bersuara mempertahankan keputusan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin terbabit tidak seharusnya mengambil sikap 'menikus' dalam isu tersebut.

"Mereka (pemimpin Melayu PH) mesti berani menyatakan pendirian sebagaimana beraninya UMNO mempertahankan isu ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, UMNO berpandangan jika penolakan dibuat kerana kononnya tulisan jawi bukan sebahagian daripada bahasa Melayu disifatkan sebagai 'buta' sejarah.

Katanya, UMNO menyokong sepenuhnya usaha memartabatkan semula tulisan jawi yang dijadikan sebagai salah satu elemen dalam pendidikan dan pengajaran bahasa Melayu," katanya.

"Bahasa Melayu itu bermula dengan tulisan jawi. Di dalam banyak terbitan sejarah dan kesusasteraan Melayu lama, tulisan Melayu itu berdasarkan kepada tulisan jawi," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah dengan alasan langkah itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!