Rukun Negara kedua penting untuk kekal keharmonian di Malaysia: TMJ
JOHOR BAHRU - Konsep dan pegangan Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara adalah penting untuk terus mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ketaatan kepada rukun itu juga memastikan kesinambungan budaya, adat resam dan agama dapat berterusan zaman-berzaman.
“Rukun Negara kedua jelas memperkatakan tentang setia kepada raja dan negara. Kesetiaan ini dilihat penting dalam mengekalkan keharmonian di tengah-tengah masyarakat berbilang kaum.
“Ketaatan jugalah yang akan menjadikan kita teguh bersama namun nilai ini seolah-olah menjadi agak luntur kini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Udara, Tan Sri Affendi Buang; Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Hasagaya Abdullah dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Datuk Khairul Anuar Yahya.
Sempena istiadat berkenaan, Tunku Ismail turut memberi peringatan kepada kesemua pegawai kadet yang akan ditauliahkan untuk bersedia menghadapi sebarang cabaran perlu dihadapi dalam bidang ketenteraan.
“Sebagai kelompok terlatih dan sebagai seorang pegawai tentera, saya ingin mengingatkan tentang cabaran dan ancaman yang kita hadapi kini. ‘Sense of Awareness’ berkaitan hal keselamatan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Ingin saya ingatkan, profesion ketenteraan ini adalah profesion yang menekankan erti pengorbanan sebenar,” katanya.
Terdahulu, istiadat berkenaan menyaksikan seramai 1,560 Pegawai Kadet terdiri daripada 881 Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 330 Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 349 Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditauliahkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!