Lori muatan diesel terbakar di Lebuhraya NKVE
KUALA LUMPUR - Sebuah lori yang membawa muatan diesel hangus dalam kejadian kebakaran di Kilometer 23.5, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), pagi tadi.
Api marak yang merentasi empat lorong lebuh raya itu menyebabkan jalan tidak dapat dilalui pengguna dan kesesakan berlaku lebih tiga kilometer.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 11.21 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, Kuala Lumpur dan BBP Sungai Buloh bergegas ke lokasi.
“Kebakaran libatkan sebuah lori satu tan yang membawa muatan minyak diesel. Kuantiti tong yang terbakar tidak diketahui.
“Pemandu lori berjaya selamatkan diri dan tidak alami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori itu terbakar hampir 90 peratus manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!