Keadaan jerebu semakin pulih
SHAH ALAM - Keadaan jerebu di negara ini semakin baik dan dijangka pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, ketika ini jumlah titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan Selatan juga menunjukkan penurunan.
“Di Sumatera hanya ada dua ke tiga saja titik panas. Manakala di Kalimantan Selatan ada dalam 20 titik panas.
“Boleh dikatakan keadaan jerebu di tahap baik dan boleh pulih dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurut beliau, faktor hujan di sesetengah kawasan juga membantu membersihkan udara daripada habuk jerebu.
“Tapi yang penting sumber kebakaran itu dipadamkan dan tiada kebakaran baharu. Hal ini kerana jerebu boleh berulang jika masih ada kebakaran dan angin akan bertiup ke arah negara kita,” katanya.
Katanya, orang ramai juga boleh menjalankan aktiviti luar seperti biasa dan diingatkan tidak membuat pembakaran terbuka.
Sementara itu, semakan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar mendapati setakat jam 4 petang tadi, tiada stesen yang mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat.
Sebaliknya, 67 stesen mencatatkan bacaan IPU sederhana dengan bacaan tertinggi di Indera Mahkota Kuantan iaitu 97 diikuti Balik Pulau dan Seberang Jaya, Pulau Pinang (81).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!