Biar netizen menilai sendiri: Faizal Tahir
AWAL Julai lalu, nama Faizal Tahir hangat diperkatakan ekoran penyebaran dua keping foto gambar bogelnya di Internet.
Ramai yang membuat spekulasi bahawa gambar tersebut asli dan tidak kurang juga yang tidak mempercayai keaslian foto berkenaan, ditambah pula dengan imej Faizal kini.
Bagaimanapun Faizal yang ditemui di majlis pelancaran album terakhirnya, Rojak di pejabat Warna Music Malaysia, Menara TSR, Mutiara Damansara semalam, tidak mengesahkan mahupun menafikan gambar tersebut miliknya.
Jelasnya, dia lebih selesa membiarkan warga maya membuat spekulasi sendiri mengenai isu foto bogel terbabit.
"Kalau ini percubaan untuk orang mengacau rumah tangga saya, saya doakan yang baik-baik untuk dia.
"Saya rasa saya tak perlu jawab apa-apa kerana apa yang penting, isteri saya dan Allah sahaja yang tahu mengenai perkara ini.
"Biar netizen menilai sendiri. Terpulang kalau orang kata ia saya, tak ada apa yang perlu saya sorokkan," katanya kepada Astro Gempak.
Tambahnya, pada usia kini lebih banyak perkara baik yang boleh dikongsikan di internet berbanding foto sedemikian.
"Saya dah berusia 41 tahun, banyak lagi perkara baik yang boleh saya kongsi.
"Apa yang penting, foto itu bukan disebarkan oleh saya. Jika ada yang merasakan itu saya, enjoy it," selorohnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!