Food Bank: KPDNHEP perlu libatkan penyertaan NGO
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selain itu, institusi keagamaan seperti masjid juga boleh dilibatkan bersama untuk dijadikan sebagai pusat pengedaran makanan khususnya kepada golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, sukarelawan dan NGO di negara ini boleh diberikan latihan oleh pihak terlibat bagi bersama-sama membantu program tersebut agar pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan dengan kos yang efektif.
"Kami berpendapat pengurusan program ini perlu memastikan operasi dan mekanisme yang digunapakai dapat berjalan dengan lancar.
"Program ini akan mencapai matlamat jika mekanisme yang digunapakai berkesan bagi memastikan sumber lebihan makanan itu dapat disalurkan kepada pihak yang memerlukan,"katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pelaksanaan program Food Bank Malaysia itu bertepatan dengan fokus kerajaan bagi meringankan bebanan kos sara hidup rakyat.
Menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Tun Mahathir berkata program tersebut merupakan satu usaha kerajaan bagi meringankan bebanan rakyat khususnya kumpulan B40 apabila sebanyak 15,000 tan lebihan makanan yang dihasilkan di negara ini dapat disalurkan kepada golongan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, Mapim turut menggesa agar satu peraturan baharu yang berkesan dapat digubal bagi mengatasi isu pembaziran makanan di negara ini.
"Budaya membazir makanan perlu dikawal melalui undang-undang yang dapat mengatasi tabiat pengguna dan peniaga yang merasakan tiada masalah sekiranya mereka membuang makanan berlebihan.
"Kami sangat kecewa masyarakat Islam juga terlibat dalam pembaziran makanan. Pada Ramadan tahun ini sahaja sebanyak lebih 600,000 metrik tan makanan dibazirkan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, kerajaan perlu mengambil kira pengalaman beberapa negara luar yang telah menggerakkan inisiatif ini bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan lancar dan tidak hanya separuh jalan.
Tambahnya, buat masa ini, Rangkaian Bank Makanan Global (The Global Food Banking Network) di peringkat antarabangsa telah mempunyai sebanyak 811 pusat di 31 buah negara bagi membantu sebanyak 7.8 juta orang penduduk.
"Disebabkan itu kami mengalu-alukan inisiatif ini memandangkan isu pembaziran di negara ini amat tinggi dan memerlukan perhatian serius,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!