Guna semula 'Central Fire Station' selepas 111 tahun

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai - Foto sumber internet. Gambar kecil: Chow Kon Yeow
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai - Foto sumber internet. Gambar kecil: Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai di sini yang tercatat sebagai balai tertua di Malaysa dan yang masih beroperasi, kembali menggunakan nama asalnya sebagai BBP Pusat.

Bangunan itu turut menggunakan papan tanda 'Central Fire Station' (Balai Bomba Pusat) dengan reka bentuk berstruktur seperti 111 tahun lalu iaitu dengan fon depan hitam besar, menggantikan papan tanda merah sebelum ini dan meletakkan reka bentuk infrastruktur asalnya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, papan tanda itu ditukar mengikut Pelan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town dan inisiatif ini diambil oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Pantai.

“Bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ini adalah satu bangunan ikonik dan bangunan warisan Kategori I di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town,” katanya selepas pemasangan papan tanda baharu itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, inisiatif itu dibuat bagi menarik pelancong dan mengiktiraf ia sebagai balai bomba pertama di negeri ini.

"Selain daripada papan tanda itu, bentuk bangunan dan beberapa cirinya akan dikekalkan bagi menyesuaikannya dengan syarat Pelan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town.

"Satu daripada ciri ikonik bangunan yang mempunyai reka bentuk struktural ialah gabungan corak arkitektural, corak klasikal menggabungkan corak Mughal menara empat tingkat dengan pengaruh dari era arkitek Edwardian," katanya.

Menurutnya, memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi, kebanyakan kerja-kerja pemulihan dan pemeliharaan dilakukan dari sudut pandangan balai bomba. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!