Pelajar OKU berulang sejauh 74km ke kolej setiap hari
KUALA TERENGGANU - Pelajar kurang upaya (OKU) dari Kolej Komuniti Kemaman yang memperoleh pencapaian akademik cemerlang berulang alik sejauh 74 kilometer (km) setiap hari selama setahun dari kediamannya di Kampung Chendor ke tempat belajar.
Ainnurnisa Zukarnaen Ahmad, 21, berkata, memandangkan bapanya bekerja, setiap hari, ibunya, Norazimah Mohd, 49, akan menggalas tugas menghantar dan mengambilnya yang memakan masa selama satu jam setengah.
“Begitulah rutin setiap hari selama setahun. Ibu akan hantar saya pada sebelah pagi dan akan pulang ke rumah kemudian dia akan mengambil saya jam 5 petang apabila kelas saya selesai.
“Biasanya, saya akan duduk di surau sekiranya ada jarak masa yang lama antara satu-satu subjek yang saya pelajari dan akan menunggu ibu saya mengambil saya pada sebelah petang,” katanya.
Anak tunggal itu menerima Anugerah Pengarah bagi jurusan sijil Sistem Komputer dan Rangkaian sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Terengganu dan Kelantan 2019 yang diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini semalam.
Katanya, kejayaan yang diperoleh itu juga berkat doa, kesungguhan serta sokongan keluarga, tenaga pengajar dan rakan-rakan yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.
“Ibu bapa dan keluarga banyak menyokong saya untuk terus belajar. Kejayaan hari ini juga berkat sokongan rakan-rakan yang banyak membantu saya disebabkan pergerakan saya agak terbatas.
“Selain itu, memang saya tidak nafikan sokongan pensyarah-pensyarah saya juga banyak membantu saya,” katanya.
Ditanya sama ada akan meneruskan pelajaran atau bekerja, Ainnurnisa berkata, buat masa ini dia mengambil keputusan untuk bekerja dahulu sebelum mencari peluang belajar di tempat yang sesuai.
“Saya masih mencari-cari tempat belajar yang mesra OKU seperti di Kolej Komuniti Kemaman. Tetapi buat sementara waktu ini biarlah saya bekerja dahulu untuk menimba pengalaman,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Norazimah berkata, dia bukan tidak mahu menghantar anaknya itu tinggal di asrama namun bimbang anaknya itu tidak dapat menguruskan diri dengan baik.
“Saya bukan tak mahu hantar tinggal di asrama tapi bimbang dia tidak dapat menguruskan diri memandangkan dia mengalami kecacatan pada bahagian kaki sejak kecil. Perlu bertongkat dan berkerusi roda.
“Jadi, saya putuskan untuk menghantar dan mengambilnya setiap hari. Mujurlah tempat untuk dia menjalani latihan industri selama empat bulan tidak jauh dari rumah dan hanya mengambil masa selama 10 minit saja,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Sistem Komputer dan Rangkaian Kolej Komuniti Kemaman, Wan Noraida Wan Musa, 39, berkata, Ainnurnisa adalah seorang pelajar yang mempunyai ketrampilan dan aktif mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan pihak kolej.
“Saya lihat dia begitu bersemangat untuk belajar. Kalau ada yang dia tak faham di dalam kelas dia akan cepat-cepat bertanya.
“Dia tidak menjadikan kekurangan yang ada padanya sebagai halangan untuk aktif dalam setiap aktiviti yang dianjurkan pihak kolej.
“Saya menganggap dia mempunyai masa depan yang begitu cerah dan boleh pergi lebih jauh. Lebih-lebih lagi sekiranya menyambung pelajaran di tempat yang sesuai dan mesra dengan keadaan fizikalnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!