70 skuad sertai himpunan TJP 39
KAJANG - Ulang tahun ke-39 keanggotaan Pegawai Kadet Pengambilan Tauliah Jangka Pendek ke Tiga Puluh Sembilan (TJP 39) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi makna tersendiri apabila lebih 70 skuad dapat berkumpul dalam program reunion semalam.
Bertemakan ‘Thirty Niner is Thirty Nine’, majlis himpunan besar-besaran TJP 39 yang juga dikenali sebagai Thirty Niner (39er) itu menjadi acara wajib dilaksanakan setiap dua tahun sebagai usaha mengeratkan ukhuwah sedia ada.
Penaung 39er, Tengku Datuk Seri Kamaruzzaman Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar (Tuanku Datuk Seri Intan), berkata, ia reunion ketujuh diadakan sejak 2006.
Menurutnya, program itu menjadi platform pasukan 39er berkumpul khususnya majoriti skuad yang sudah bersara.
“Daripada keseluruhan 247 pegawai kadet yang ditauliahkan pada 27 Jun 1981, hanya 21 orang masih berkhidmat termasuk saya.
“Menariknya reunion kali ini sempena tahun ke-39, 39er menerima penganugerahan tauliah yang dulunya disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang yang kini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.
Pada majlis diadakan di Kem Tun Ibrahim, 31 Rejimen Ateleri Diraja itu, turut diadakan bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat selain penyampaian sumbangan kepada tujuh skuad yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!