Gabung dengan Umno: Pas tak perlu komen lagi
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, ini kerana Umno sendiri tidak pernah membuat keputusan untuk bergabung dengan mana-mana pihak.
“Umno akan terus memperkasa dirinya sebagai sebuah parti berwibawa. Bekerjasama di mana perlu,” katanya menerusi ciapannya di Twitter, hari ini.
Dalam sebuah ciapan berasingan yang dipercayai turut merujuk kepada Pas, Annuar berkata, Umno menerima hinaan terhadap parti itu sebagai satu cabaran.
“Adalah hak mereka sebagai pemimpin parti politik untuk ‘bercakap besar’ dan berlagak sombong. Sememangnya kuasa itu melalaikan.
“Mereka boleh saja menghina Umno. Insya-ALLAH semua itu kita terima sebagai cabaran dan terus berusaha memperbaiki kelemahan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi satu temuramah “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland baru-baru ini, menyifatkan Umno bahtera bocor dan Pas tidak mungkin akan bergabung dengan parti itu.
Hari ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula mengulangi pendapat peribadinya Umno sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik dan mencadangkan parti itu dibubarkan.
Hubungan Umno dan Pas semakin mesra selepas beberapa siri PRK, malah kedua-dua parti itu turut bersama menghadiri himpunan bantah ICERD awal bulan ini.
Pada 17 November lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis ceramah secara terbuka mempelawa Pas untuk ‘bercantum’ dengan Umno.
Namun, kedua-dua pemimpin parti mengatakan kerjasama hanya melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!