'Tok wan bukan minta sedekah'
PONTIAN - Pernah dianggap peminta sedekah dan dilemparkan kata-kata kesat semasa mencari rezeki, namun tidak mematahkan semangat seorang warga emas yang kudung kedua-dua kaki untuk berniaga demi menyara isteri dan dua anaknya.
Abdul Shukor Saad, 64, yang lebih mesra dipanggil tok wan tidak asing bagi penduduk di daerah ini kerana dia sering kelihatan di bandar ini berkerusi roda elektrik membawa barangan seperti pes rendang, rempah ratus dan minyak urut untuk dijual.
Jika tidak berniaga keliling bandar, dia akan berada di kedai yang turut menjadi rumah di Jalan Taib Pontian di sini sambil ditemani isteri, Zaini Abu Nawas, 52 dan anak sulung Mohd Felani Iqhwan,19, yang cukup mesra menyambut sesiapa sahaja datang ke kedai mereka
Abdul Shukor berkata, selagi ada kudrat dia akan terus mencari rezeki kerana tidak mahu bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebanyak RM900 sebulan yang diterima.
"Tok wan bukan meminta sedekah saya cuma berniaga. Kata-kata kesat itu saya jadikan pembakar semangat untuk tidak berputus asa bergelar orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Menurutnya, walaupun kehilangan kedua belah kaki sehingga paras lutut akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu, dia perlu kreatif berusaha untuk mencari rezeki.
"Tok wan pernah buka warung, tetapi warung terpaksa ditutup sebab tiada yang menolong. Biasanya kalau cuti sekolah, anak sulung dan anak kedua, Saleha yang berusia 16 tahun menolong di warung," katanya.
Katanya, dia juga mahir membuat pes rendang ayam dan daging serta perasa makanan serbaguna yang menjadi sumber rezeki sampingan.
"Sudah beberapa kali tok wan dan keluarga berpindah-randah. Dari sebuah rumah sewa ke rumah sewa kerana perlu mencari lokasi rumah yang dekat dengan bandar.
"Mujur ketika Ramadan lepas, tok wan dapat menyewa sebuah bangunan kedai yang turut dijadikan tempat kami sekeluarga berteduh," katanya.
Sementara itu isterinya, Zaini yang membantu suami dengan mengambil upah menjahit pakaian menyifatkan jiwa Abdul Shukor cukup kental meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Rosman Tahir berkata, pihaknya akan cuba membantu Abdul Shukor mendapatkan papan tanda kedai dan lesen perniagaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!