Fairuz angkat martabat penyolek tanjak

Fairuz dipertanggungjawabkan menyolek tanjak yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara pada 24 April 2017.
Fairuz dipertanggungjawabkan menyolek tanjak yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di Istana Negara pada 24 April 2017.
A
A
A

PEMAKAIAN tanjak atau di sesetengah negeri disebut tengkolok atau destar sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai hanya dalam acara adat istiadat Melayu seperti pelengkap busana pengantin lelaki dalam majlis perkahwinan.

Kebiasaannya pemakaiannya akan dipadankan dengan bengkung, samping dan baju Melayu berserta keris selit.

Pengasas Kazanah Warisan Al Fairuzi, Mohd Zairul Fairuz Zakaria berkata, setiap tanjak yang dipakai sebenarnya mempunyai maksud tersirat dan melambangkan keperibadian pemakai.

 Mohd Zairul Fairuz Zakaria
Mohd Zairul Fairuz Zakaria

Bermula dari hobi

Mohd Zairul Fairuz yang lebih mesra dipanggil Fairuz memberitahu, pada mulanya dia menyolek tanjak sekadar untuk mengisi masa lapang.

Berbekalkan ilmu yang dipelajari 10 tahun lalu, dia sendiri menyolek tanjak untuk dipakai pada majlis perkahwinannya.

“Baki kain songket daripada tanjak itu kemudiannya saya buat tanjak miniatur sebagai cenderahati untuk tetamu yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Tanjak mini yang dihasilkan Kazanah Warisan Al Fairuzi sentiasa mendapat tempahan untuk dijadikan cenderahati.
Tanjak mini yang dihasilkan Kazanah Warisan Al Fairuzi sentiasa mendapat tempahan untuk dijadikan cenderahati.

“Tidak sangka ada yang berminat dan saya mula mengambil tempahan dalam skala yang kecil.

“Ketika itu saya mula terfikir mengapa tidak saya jadikannya sebagai satu perniagaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tahun 2014 menjadi tahun penting bagi Fairuz kerana pada tahun itulah dia serius menceburi perniagaan sebagai seorang penyolek tanjak dengan menubuhkan Kazanah Warisan Al Fairuzi.

“Kazanah Warisan Al Fairuzi mulakan perniagaan dengan tanjak warisan iaitu yang dipakai oleh Raja-raja Melayu,” katanya.

Menyolek tengkolok

Fairuz akui tugas menyiapkan tanjak yang merupakan pelengkap kepada persalinan diraja bukan mudah.

Tanjak yang dihasilkan perlu sesuai dengan bentuk wajah dan keperibadian pemakai.

Bahkan bentuk dan rekaan tanjak setiap negeri berbeza kerana setiap raja atau sultan yang memakai tanjak membawa identiti negeri masing-masing.

“Setiap tanjak warisan perlu dibuat mengikut rekaan ditetapkan dan tidak boleh diubah. Bentuknya mungkin kelihatan sama, namun beza dari segi ketinggian dan saiz,” katanya.

Tengkolok Cenderamata, Replika Tengkolok Negeri Perak yang diperbuat daripada songket putih bunga emas yang dihasilkan Kazanah Warisan Al Fairuzi.
Tengkolok Cenderamata, Replika Tengkolok Negeri Perak yang diperbuat daripada songket putih bunga emas yang dihasilkan Kazanah Warisan Al Fairuzi.

Fairuz berkata, generasi penyolek tanjak warisan tidak pernah ketandusan, cuma yang benar-benar mahir tidak ramai.

“Saya mahu berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat. Tetapi sukar untuk seorang menguasai kemahiran menyolek kerana tiada manual bertulis disediakan. Segalanya menerusi gambaran sahaja,” katanya.

Menyolek tanjak YDPA

Lelaki berusia 38 tahun itu memberitahu, tanjak ‘Dendam Tak Sudah’ yang berasal dari Negeri Sembilan adalah jenis destar berwarna hitam bersulam benang emas, yang dipakai setiap Raja Melayu yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Walaupun sudah biasa menyolek tanjak, namun apabila diberi tugasan menyolek tanjak untuk dipakai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada hari pertabalan baginda pada 24 April 2017 ia amat mencabar.

“Ia tidak boleh dibuat berulang-ulang kali,” katanya sambil memberitahu yang tanjak raja dan sultan tidak boleh dipakai oleh rakyat jelata.

Tambahnya, destar ‘Dendam Tak Sudah’ mempunyai lima ciri utama iaitu lambaian ibu, takuk, simpul kasih, pucuk kasih dan gelembung kasih dan setiap satu ada maksud tersendiri.

“Menyolek tanjak untuk baginda Sultan Muhammad V, mengambil masa kira-kira tiga bulan.

"Ukuran kepala baginda diperoleh daripada pegawai istiadat Istana Negara manakala songket tenunan tangan berbenang emas dari Terengganu. Ia dihasilkan 100 peratus buatan tangan,” katanya.

Selain daripada tanjak yang disolek khas untuk YDPA, Fairuz turut menerima tempahan daripada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Tengkolok Alang Merewah yang disolek khas untuk pengemar tanjak kreasi klasik.
Tengkolok Alang Merewah yang disolek khas untuk pengemar tanjak kreasi klasik.

Fairuz juga menggalas tanggungjawab menyolek tanjak untuk kalangan kerabat diraja, menteri besar, datuk bergelar dan pegawai tertinggi kerajaan.

Maksud ciri-ciri destar Dendam Tak Sudah yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V

Lambaian Ibu: Menggambarkan lambaian seorang ibu kepada anaknya yang keluar merantau dengan harapan anak itu kembali ke tanah asal.

Takuk: Mempunyai lima lipatan takuk melambangkan lima prinsip Rukun Islam. Lipatannya tidak sama besar bererti dalam hidup ini tidak semuanya indah, ada masa baik, ada masa jalan hidupnya berliku.

Simpul Kasih (bahagian simpulan pada telinga): Bermaksud ikatan perkahwinan.

Pucuk Kasih (bahagian menegak pada tepi destar): Melambangkan kuasa seseorang raja.

Gelembung Kasih (bahagian menggelembung di bawah Lambaian Ibu): Bermaksud ikatan perkahwinan yang berakhir dengan seseorang isteri yang mengandung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!