Hampir 20 maut dalam insiden tembakan di Texas
AUSTIN - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam insiden tembakan besar-besaran di Amerika Syarikat (AS) selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang ke arah pengunjung di sebuah gedung sesak di Walmart semalam.
Angka kematian sebenar tragedi di Texas masih belum diketahui, namun saluran televisyen meletakkan angka yang maut antara 15 dan 20 orang sementara anggota paramedik dilaporkan merawat puluhan mangsa.
Presiden Donald Trump menulis di Twitter mengatakan 'laporan amat menyedihkan, ramai terbunuh' selepas bercakap dengan Gabenor Texas.
Ia adalah serangan kedua bererlaku dalam tempoh kurang seminggu di selepas insiden tembakan besar-besaran di California hujung minggu lalu.
Menurut polis, seorang suspek sudah ditahan namun setakat ini belum mengumumkan angka sebenar yang maut.
Bagaimanapun, saluran NBC melaporkan 19 orang terbunuh manakala 40 lagi cedera manakala CBS memetik Peguam Negara Texas sebagai berkata, antara 15 dan 20 orang maut.
Sumber penguat kuasa undang-undang memberitahu pula ABC News sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh.
Pelbagai laporan berita mengatakan umur mangsa yang dirawat di hospital antara dua hingga 82 tahun. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!