Sejauh mana cinta terhadap negara
SETIAP kali kita menyambut Hari Kebangsaan, rakyat sering diingatkan agar mencintai negara tanah air tercinta. Pihak kerajaan terus menganjurkan pelbagai aktiviti bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan. Dalam masa sama menerap semangat patriotisme yang menjadi nadi utama kepada kelangsungan bangsa.
Sambutan 2019 kali ini bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Tema itu dipilih bagi memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.
Kerajaan juga membuat keputusan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lalu dengan tambahan tema baharu berkenaan manakala Malaysia Bersih dipilih sebagai lagu utama sambutan kali ini. Logo rasmi terbabit memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka.
Ia juga menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian, seia sekata, sehati dan sejiwa yang membarakan perasaan sayang kepada negara. Penggunaan warna Jalur Gemilang pula menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.
Persoalannya kenapa setiap kali sambutan Hari Kebangsaan saban tahun masih lagi mengutarakan persoalan kecintaan dan patriotisme. Adakah selama ini masih wujud rakyat yang tidak mempunyai kecintaan sejati, tanpa berbelah bahagi selain Malaysia? Sejauh mana peranan pendidikan berjaya menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan warganya?
Jika kita meneliti dan menganalisis beberapa insiden yang menyentuh mengenai bangsa semakin ketara sejak akhir-akhir ini.
Masih wujud warga yang mempertikaikan ketaatsetiaan sejati terhadap tanah air sendiri. Menggunakan medium atau perantara media sosial, tuduhan, fitnah, adu domba, malah kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan budaya kian berleluasa. Sebenarnya polemik itu amat membimbangkan.
Sudah wujud segelintir generasi kini yang 'malu' dan tidak mengakui sebagai anak Malaysia! Masih lagi mengagung-agungkan bangsa penjajah yang dianggap terbaik segalanya. Malah jauh sekali untuk mengibarkan bendera di rumah atau kenderaan.
Warisan
Pelbagai provokasi mewujudkan keganasan persepsi melalui media sosial yang mula kurang kawalan yang boleh mengundang pelbagai reaksi dan tindakan negatif yang mengancam perpaduan Malaysia selama kini. Sedangkan kecemerlangan dan kegemilangan bangsa khususnya Melayu khususnya terpahat sejak zaman Melayu Melaka sehingga ke Majapahit dan Tanah Besar China.
Semuanya terpahat sebagai lipatan sejarah. Persoalannya, sejauh mana rakyat pribumi menghayati segala kegemilangan ini? Masih ingat lagi nama-nama besar bangsa yang tersohor dan terbilang? Usaha menjejaki kegemilangan bangsa perlu berterusan dan dijadikan warisan bangsa yang cukup tinggi nilainya. Jangan nanti generasi baharu lupa asal usul dan akar budaya sendiri.
Peribahasa Melayu mengatakan 'di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung'. Di mana pun kita berada, kita perlu menghormati budaya dan menjunjung Perlembagaan, undang-undang dan dasar kerajaan. Kita juga perlu menginsafi asal usul serta siapa kita pada masa dahulu.
Kita perlu melakar kecemerlangan sekarang dan akan datang. Tanpa menginsafi lakaran sejarah serta menghayati roh kesungguhan bangsa, kita akan alpa dan mungkin hanyut di bawah arus permodenan. Kita perlu membuang persoalan politik dan pendirian, demi negara, bangsa dan agama.
Kesenangan dan keamanan yang kita kecapi tidak bererti kita meremehkan persoalan kekentalan jati diri. Sedangkan mengekalkan jati diri dan maruah bangsa menjadi resipi ampuh serta benteng kestabilan negara. Tanpa rentetan sejarah, kita tidak mampu menghayati serta menginsafi jasa pejuang bangsa dan pemimpin terdahulu yang berjuang demi kemerdekaan.
Ramai tokoh yang tidak didendang yang telah mengukir kecemerlangan. Mungkin mereka bukan pemimpin. Bukan juga orang ternama. Namun, kegemilangan tersendiri yang tercipta telah mengharumkan nama bangsa dan negara.
Untuk kita terus mengekalkan perpaduan serta lengkuk kejayaan, kita perlu membina landasan yang sedia ada. Pada masa sama, kita perlu meraikan rakyat di Malaysia. Kita perlu membebaskan diri daripada belenggu yang menghambat kecemerlangan dan kegemilangan.
Kita perlu merdeka fizikal dan pemikiran. Merdeka bukan bermakna lepas daripada cengkeman penjajah, tetapi merdeka mampu untuk berdikari dan membuat keputusan mengikut acuan sendiri.Justeru, semangat patriotisme perlu terus disemat di setiap hati sanubari warganegara dan perlu dihayati bila-bila masa.
*Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!