Hina nabi: Kemungkinan individu guna akaun Facebook palsu
GEORGETOWN - Polis tidak menolak kemungkinan pemilik akaun Facebook yang mengunakan nama Wendy Loong yang memuat naik gambar menghina Nabi Muhammad SAW menggunakan akaun palsu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, sehingga kini polis masih giat menjalankan siasatan berhubung perkara terbabit.
"Besar kemungkinan ia menggunakan akaun Facebook palsu, kalau tidak mesti kita sudah dapat tahu lama. Perkara ini di alam maya, jadi ia ambil masa sedikit, kena lihat dari sudut teknikal, sumbernya dari mana. Apapun siasatan sedang giat dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam (UA) Ke-15 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Setakat ini, polis menerima lebih dari 400 laporan polis berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.
Sebelum ini tular di laman sosial Facebook berhubung satu akaun menggunakan nama seorang wanita dan telah memuat naik satu gambar yang dikatakan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.
Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 1,167 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor Suksis) dari 20 universiti awam menerima sijil pengtauliahan itu.
Mazlan berkata, sukatan bagi Suksis dalam pembelajaran akan digubal dan dimasukkan beberapa undang-undang baharu.
"Jika sebelum ini silibusnya kita masih ada undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA sudah dimansuhkan jadi kita akan masukkan pembelajaran undang-undang yang baru yang lain seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
“Undang-undang ini kita telah gubal dan masih belum dimasukkan dalam silibus. Pendekatan ini akan kita gunakan bagi membolehkan Suksis memperoleh lebih banyak ilmu dalam bidang undang-undang," katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 483 laporan polis diterima berhubung kes hina nabi Wendy Loong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!