Salahuddin larang guna sistem 'cai'
BAKRI - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub menegaskan beliau tidak sekali-kali menyokong sistem 'cai' untuk diguna pakai pada pemilihan Pemuda Amanah ketika ini.
Menurutnya, budaya yang diterapkan Pas itu adalah tidak adil kepada semua ahli dan Amanah pastinya tidak menyokong amalan itu.
“Ucapan saya berkenaan sistem 'cai' yang dipetik dalam pemilihan Pemuda Amanah semalam tidak diletakkan dalam konteks yang betul. Saya menyarankan bahawa kita (Amanah) tidak sekali-kali bersetuju dengan sistem 'cai' .
“Kaedah ini mampu menghilangkan rasionaliti dan kelayakan seseorang kerana dipilih secara 'cai' . Tapi dalam parti Amanah, kita pastikan ini tidak berlaku seperti kaedah Pas yang menjahanamkan rasional memilih pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keusahawanan Tani bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Taman Bakri Makmur, Batu 5 di sini hari ini.
Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kenyataannya sebelum ini disalah erti apabila beberapa laporan media memetik kononnya beliau mahu memperkenalkan sistem 'cai' yang lebih demokratik dalam pemilihan sayap parti.
“Dalam Amanah kita saran mereka pilih berdasarkan kebolehan, merit, disiplin dan wibawa. Saya cakap begini sebab dah tiga tahun penubuhan Amanah dan ahli dah cukup bijak untuk memilih pemimpin parti. Apa yang saya nak maksudkan bahawa Pemuda Amanah hari ini tak akan guna pakai sistem 'cai' macam diperkenalkan Pas dahulu.
“Pemuda kita ada visi dan misi, bukan adakan pemilihan secara sembunyi dan memburukkan orang. Saya tegaskan bahawa ahli parti layak memilih sesiapa sahaja pemimpin yang sesuai. Bukan pilih sebab dihasut atau digalakkan oleh orang lain. Itu paling dilarang dalam Amanah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!