Dijel 10 tahun, 10 sebat miliki dadah
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki dadah jenis methamphetamine, Disember tahun lalu.
Muhammad Asrah Zakaria,19, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 85.99 gram di sebuah rumah di Jalan Bukit Tunggal, Kampung Tebauk di sini jam 6.40 petang pada 9 Disember 2018.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Kamaruzaman A Wahab.
Berdasarkan fakta kes, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu melakukan serbuan di rumah tertuduh pada jam 6.40 petang pada 9 Disember 2018.
Anggota mendapati tertuduh sedang menyimpan sesuatu di atas dinding bilik itu.Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu plastik lutsinar mengandungi 25 paket plastik berisi serbuk/ketulan kristal disyaki dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!