Padah guna kru warga asing

Nelayan warga asing ditahan dan didapati tinggal di negara ini melebihi masa masa yang dibenarkan.
Nelayan warga asing ditahan dan didapati tinggal di negara ini melebihi masa masa yang dibenarkan.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan tempatan kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika memukat pada jarak kira-kira 0.7 batu nautika dari Timur Laut Padang Kota Lama di sini pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, sebuah bot peronda APM melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang pada jam 11.45 pagi, bertindak menahan bot itu dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong lelaki warga tempatan berumur 50 bersama dua orang kru warga asing masing-masing Myanmar berusia 34 tahun dan Vietnam, 22 tahun berada di atas bot berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Semakan yang dibuat mendapati kedua-dua warga asing terbabit tinggal di negara ini melebihi masa yang dibenarkan.

“Bot berkenaan beserta tekong dan dua kru itu ditahan. Kita turut merampas dua unit pukat hanyut dan ikan campur dalam anggaran 10 kilogram yang terdapat di atas bot terbabit," katanya ketika dihubungi di sini.

Bot nelayan warga asing ditahan dan didapati tinggal di negara ini melebihi masa masa yang dibenarkan.
Bot nelayan warga asing ditahan dan didapati tinggal di negara ini melebihi masa masa yang dibenarkan.

Hamizan berkata, kesemua yang ditahan dan dirampas dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, dua warga asing berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menasihati semua pengusaha bot nelayan tempatan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen vesel yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya, orang awam diminta agar bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!