Lelaki lemas diserang sawan ketika menangkap ikan
PADANG BESAR - Seorang lelaki mati lemas dipercayai akibat diserang sawan ketika sedang menangkap ikan bersama enam rakannya di Empangan Timah Tasoh, Bukit Manik di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, mangsa Fazli Aziz, 31, dari Kampung Baru, Bukit Chabang dekat sini keluar untuk menangkap ikan bersama rakan-rakannya kira-kira 9 malam.
Menurutnya, ketika mereka sedang menangkap ikan salah seorang rakan mangsa menemuinya dalam keadaan tertiarap di permukaan air 10.20 malam.
“Polis menerima panggilan daripada rakan mangsa kira-kira 11.15 malam untuk mendapatkan bantuan. Hasil pemeriksaan polis tidak menemukan unsur jenayah.
“Abang mangsa turut memaklumkan adiknya itu mempunyai sejarah penyakit sawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Halim berkata, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!