iGuru bidas kenyataan Tun M
SEREMBAN - Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) membidas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekolah kebangsaan telah berubah menjadi ke arah sekolah agama.
Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap pendidikan Islam yang diajar di sekolah kebangsaan.
“iGuru melihat kurikulum pendidikan Islam sedia ada perlu diperkasakan di peringkat rendah lagi dengan orientasi menekankan aspek amali dari teori.
“Ini kerana waktu pengajaran sedia ada hanya tiga jam seminggu dan bagi kita ia tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, penekanan pengajaran mata pelajaran agama sudah termaktub di dalam Ordinan Pelajaran 1952 mengikut Seksyen 70 dan Seksyen 86 yang menggariskan hak murid beragama Islam untuk mendapatkan pendidikan agama.
Beliau berkata, ia diperkukuhkan semula di dalam Ordinan Pelajaran 1957 yang mewajibkan sekolah mempunyai bilangan murid seramai 15 orang wajib diajar pelajaran agama.
“Jadi, iGuru mencadangkan jawatankuasa semakan semula kurikulum pendidikan Islam diwujudkan supaya dapat membina kualiti murid yang akan mendorongnya menguasai ilmu-ilmu di bidang lain seperti penguasaan bahasa, matematik dan sains.
“Bagi kita, penekanan subjek pendidikan Islam perlu diberi keutamaan kerana generasi murid hari ini terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan keruntuhan akhlak,” katanya.
Mohd Azizee juga menyifatkan langkah mengurangkan masa pengajaran pendidikan Islam di sekolah sebagai langkah mundur kerana ia akhirnya akan beri kesan negatif kepada generasi masa depan.
Katanya, pihaknya bersetuju jika kurikulum pendidikan Islam dimantapkan dengan elemen yang mampu membangunkan karektor dan menyiapkan murid untuk mendepani cabaran masa depan dengan olahan lebih dinamik.
“Kita bukan saja mahu generasi yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga sahsiah dirinya sekali gus tidak mengabaikan aspek keagamaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!