Nahas ambulans: KKM tubuh jawatankuasa bebas
IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat kes kemalangan maut membabitkan sebuah ambulans di Kilometer 368.3 Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan kawasan Tanjung Malim pagi tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, Jabatan Kesihatan negeri dan KKM mengambil serius insiden tersebut yang mengakibatkan dua maut termasuk seorang pesakit warga emas berusia 66 tahun sewaktu pesakit itu sedang dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini ke Hospital Slim River.
Menurutnya, jawatankuasa bebas yang ditubuhkan itu juga akan membuat siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada urusan penggunaan kenderaan hospital dikendalikan mengikut prosedur operasi standard atau sebaliknya.
"Buat masa ini, perkara ini (isu penyelenggaraan kenderaan hospital termasuk ambulans) masih dalam siasatan pihak kami dan KKM.
"Satu jawatankuasa bebas ditubuhkan KKM bagi menyiasat kes ini dan diharapkan semua pihak tidak membuat sebarang andaian negatif sehingga laporan siasatan selesai," katanya sewaktu dihubungi media, di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, pemandu, Mohd Hafidz Mohd Bahari, 37, dan pesakit, Azizah Dolah, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ambulans dinaiki merempuh besi pembahagi jalan sebelum terbalik.
Kemalangan dipercayai berpunca akibat tayar belakang kenderaan itu pecah menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas.
Nahas turut mengakibatkan dua lagi penumpang ambulans iaitu jururawat, Nur Aliesa Hashim, 28, dan pembantu perubatan, Khairul Azani Khairuddin,40, mengalami kecederaan ringan, manakala seorang doktor yang turut bersama mereka, Dr Ainaa Athirah Abdullah, 29, tidak cedera.
Dr Lay Ming berkata, pihaknya bersama seluruh warga Jabatan Kesihatan Negeri Perak bersedih di atas tragedi itu dan bersedia menyalurkan sebarang bantuan kepada keluarga kedua-dua mangsa.
"Mengenai pelbagai kecaman dilemparkan warganet di laman sosial ke atas pihak kami dan KKM, kita tidak boleh kawal mereka hendak kata apa.
"Apa yang pasti, kita sama-sama tunggu laporan siasatan kes daripada jawatankuasa bebas dilantik KKM dan polis untuk mendapatkan gambaran sebenar punca kejadian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ambulans terbalik: Pemandu, pesakit warga emas maut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!