Bekalan elektrik di Jawa Tengah, Jawa Timur, Bali kembali normal
JAKARTA - PT Perusahaan Elektrik Negara (Persero) sedang memulihkan gangguan transmisi 500 kilovolt (kv) yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di sebahagian besar wilayah Jawa-Bali hari ini.
Aliran elektrik di Jawa Timur, Jawa Tengah dan Bali dilaporkan sudah kembali normal.
"Wilayah Jawa Barat, Banten dan Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta masih dalam proses pemulihan," kata Pengarah Eksekutif PT PLN (Persero), Sripeni Inten Cahyani.
Menurutnya, bekalan elektrik terputus secara serentak sehingga petang tadi berpunca daripada gangguan pada transmisi Ungaran dan Pemalang 500 kv.
"Gangguan itu menyebabkan kegagalan pemindahan tenaga dari timur ke barat hingga menjejaskan seluruh loji bekalan kuasa di tengah dan barat Pulau Jawa," katanya.
Keadaan itu mengakibatkan bekalan kuasa elektrik terputus di Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi serta beberapa bahagian wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah.
Di Jawa Barat, kawasan yang terjejas termasuk Bandung, Bekasi, Cianjur, Karawang, Tasikmalaya, Sukabumi dan Bogor. - Kompas.com
ARTIKEL BERKAITAN: Kota Jakarta terputus bekalan elektrik sejak 12 tengah hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!