Iran rampas kapal seludup minyak ke negara Arab

IRGC melakukan beberapa rampasan ke atas kapal asing sejak dua bulan lalu.
IRGC melakukan beberapa rampasan ke atas kapal asing sejak dua bulan lalu.
A
A
A

TEHERAN - Iran telah merampas kapal minyak asing di Teluk Parsi yang didakwa menyeludup bahan api ke beberapa negara Arab.

Agensi berita Fars hari ini memetik kenyataan Komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Ramezan Zirahi melaporkan rampasan itu dibuat anggota peronda IRGC pada malam Rabu lalu selepas mendapat maklumat risikan.

"Kapal asing itu menerima minyak dari kapal lain dan memindahkannya ke negara Arab di Teluk Parsi," katanya tanpa menyebut nama negara terbabit.

Jelasnya lagi, 700,000 liter minyak telah dirampas selain tujuh kelasi dari pelbagai negara turut ditahan.

Pada 14 Julai lalu, IRGC merampas kapal tangki minyak Panama kerana menyeludup sejuta liter minyak Iran di selatan Pulau Larak di Teluk Parsi.

Bulan lalu, IRGC turut merampas kapal tangki Britain, Stena Impero ketika ia merentasi Selat Hormuz ketika dalam perjalanan ke Arab Saudi kerana didakwa gagal mematuhi peraturan maritim antarabangsa. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!