Kebakaran hutan, tanah gambut terkawal di Miri
MIRI – Kebakaran hutan dan tanah gambut di Kuala Baram sejak Khamis lepas berjaya dikawal dengan kawasan kebakaran hanya seluas 20.23 hektar hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, jumlah keluasan kebakaran yang berjaya dipadamkan dalam operasi yang dijalankan mulai pukul 10 pagi tadi dibantu pekerja dari syarikat korporat berhampiran ialah 4.04 hektar.
“Kebakaran mula dikesan di kawasan tersebut pada jam 10.28 pagi pada Khamis lepas di Lot 4041 dan mula merebak ke kawasan lain sehingga menuju hutan berdekatan kawasan ladang Shin Yang semalam (3 Ogos),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Poh Kiong berkata, jumlah kawasan terbakar dalam tempoh dalam tempoh tiga hari tersebut (1 hingga 3 Ogos) ialah 101.17 hektar (250 ekar) yang telah dipadamkan dan ada terpadam dengan sendiri sehingga meninggalkan sedikit asap.
Kebakaran hutan dan tanah gambut adalah punca utama jerebu yang melanda bandaraya Miri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!