Seberang Selat Inggeris dengan hoverboard

Zapata melalui perjalanan sejauh 35 km dengan kelajuan 160-170 km/j. -Foto AFP
Zapata melalui perjalanan sejauh 35 km dengan kelajuan 160-170 km/j. -Foto AFP
A
A
A

PARIS - Impian lelaki dari Perancis ini untuk menyeberangi Selat Inggeris dengan menaiki papan selaju atau hoverboard akhirnya menjadi kenyataan hari ini selepas percubaan kira-kira 10 hari lalu gagal.

Franky Zapata, 40, menaiki Flyboard tersebut dari Sangatte di pantai utara Perancis pada jam 8.17 pagi (waktu tempatan) untuk melalui perjalanan sejauh 35 kilometer ke Teluk Margaret di Dover.

Zapata turut diiringi tiga helikopter dan disambut sorakan orang ramai termasuk wartawan yang menunggu ketibaannya kira-kira 22 minit kemudian.

"Saya berasa sangat gembira dan bertuah. Ini adalah detik yang mengagumkan bagi saya," katanya sambil mengalirkan air mata gembira.

Menurutnya, petunjuk pada visor topi keledar yang dipakainya menunjukkan Zapata bergerak pada kelajuan 160-170 kilometer sejam dan melakukan aksi zig-zag ketika menghampiri pantai sebagai cubaan untuk mengurangkan keletihan pada kakinya.

"Ia adalah latihan isometrik untuk paha. Ia agak sukar, namun pulih dengan cepat. Ia bukan seperti menunggang basikal," jelasnya.

Pada 25 Julai lalu, bekas juara jet ski itu membuat percubaan pertama bertepatan dengan ulang tahun ke-110 apabila juruterbang Perancis, Louis Bleriot merentasi Selat Inggeris tersebut dengan pesawat.

Ketika disoal sama ada beliau menganggap dirinya sebagai pengganti Bleriot, Zapata memberitahu ia tidak boleh dibandingkan kerana Bleriot adalah manusia pertama yang terbang secara solo. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!