Kementerian Pendidikan lancar Myrivet

 Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A
BATU PAHAT - Kementerian Pendidikan hari ini melancarkan Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET) yang akan membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) di negara ini.

Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik berkata MyRIVET dihoskan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini.

"Institut penyelidikan ini akan bertanggungjawab untuk melaksanakan proses mengumpul, menganalisis dan menilai data TVET seterusnya menyebarluaskan penyelidikan dengan latihan secara profesional untuk membantu kerajaan dan industri bagi kegunaan rakyat serta sumber tenaga di Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Technology Update 2018 dan Pelancaran MyRIVET, di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UTHM Prof TS Dr Wahid Razzaly.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata usaha membangunkan TVET itu turut melibatkan enam kementerian lain yang berperanan sebagai penyelaras selain berkongsi maklumat melalui pelbagai pendekatan iaitu Kementerian Sumber Manusia; Belia dan Sukan; Pembangunan Luar Bandar; Pertanian dan Industri Asas Tani, Kerja Raya; serta Pertahanan.
Artikel Berkaitan:


"Dalam perkembangan TVET, selain UTHM bertindak sebagai lokasi MyRIVET, ia turut membabitkan 36 politeknik, 98 kolej komuniti dan 80 kolej vokasional selain turut melibatkan penawaran aliran berkenaan bermula di peringkat sekolah menengah lagi.

"Diharapkan MyRIVET ini akan menjadi platform utama untuk menjalin pelbagai kolaborasi baik dari institusi pendidikan, agensi kerajaan tetapi kerjasama mampu dijalin sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama beliau berharap mereka yang terlibat dalam TVET memanfaatkan kemahiran itu untuk kemanusiaan serta tidak mengejar keuntungan semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!