Tentera, pemimpin protes meterai perjanjian

 Daglo (kanan) dan Ahmed Rabie bersalaman sejurus menandatangani deklarasi Perlembagaan di Khartoum semalam.
Daglo (kanan) dan Ahmed Rabie bersalaman sejurus menandatangani deklarasi Perlembagaan di Khartoum semalam.
A
A
A

KHARTOUM - Pemerintah tentera Sudan dan pemimpin protes semalam menandatangani deklarasi Perlembagaan yang membuka jalan untuk peralihan kepada pemerintahan awam bermula 18 Ogos depan selepas bantahan ganas melanda negara itu selama lebih tujuh bulan.

Perjanjian itu dimeterai dalam sebuah majlis di Khartoum yang membina perkongsian kuasa seperti dipersetujui pada 17 Julai lalu dan menyediakan badan berkuasa awam tentera untuk mengawasi pembentukan kerajaan peralihan awan dan Parlimen memerintah bagi tempoh peralihan selama tiga tahun.

Pemimpin gerakan protes, Ahmed Rabie dan Timbalan Ketua Majlis Pemerintahan Tentera, Jeneral Mohamed Hamdan Daglo memeterai deklarasi itu yang turut disaksikan perantara Ethiopia dan Kesatuan Afrikan (AU).

"Kami membuka lembaran baharu sejarah Sudan dengan menandatangani perjanjian ini," kata Daglo.

Difahamkan, majlis menandatangani secara rasmi akan dilakukan di hadapan wakil asing pada 17 Ogos depan pada hari sama bekas Presiden digulingkan, Omar al-Bashir dijadualkan berdepan perbicaraan atas tuduhan rasuah.

Sehari selepas itu, jeneral tentera dan pemimpin protes akan mengumumkan komposisi majlis peralihan baharu tersebut.

"Ahli Majlis Berdaulat akan diumumkan pada 18 Ogos manakala Perdana Menteri akan dilantik pada 20 Ogos disusuli pelantikan ahli Kabinet pada 28 Ogos depan," kata seorang lagi pemimpin penunjuk perasaan, Monzer Abu al-Maali. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!