Jolokan awang hitam hina warna kulit

Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Nik Safiah Karim)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Nik Safiah Karim)
A
A
A

SHAH ALAM - Jolokan awang hitam kepada warga Afrika yang berada di Malaysia sudah menjadi suatu kebiasaan bagi rakyat negara ini, namun panggilan tersebut kurang sesuai memandangkan ia merujuk kepada sifat fizikal individu tersebut.

Pakar Bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan individu yang dituju dengan panggilan tersebut berasa terhina.

“Untuk mengelakkan keretakan perasaan ini saya berpendapat panggilan awang hitam kepada warga Afrika perlu digantikan dengan nama lain yang lebih neutral.

“Kita perlu tahu serba sedikit sejarah warga Afrika ini di luar negara kerana mereka ini pernah didiskriminasikan disebabkan warna kulit mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, dari sudut bahasa, panggilan awang dalam kalangan orang Melayu dahulu adalah perkara biasa yang merujuk kepada kehebatan dan kebolehan seseorang.

“Namun jika ia merujuk kepada warna kulit, ia dilihat sebagai satu bentuk penghinaan atau merendah-rendahkan seseorang itu. Adalah lebih baik jika kita elakkan sebarang bentuk diskriminasi berasaskan sifat fizikal kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gelaran awang hitam yang sering diberikan ke atas warga Afrika yang berada di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!