‘Daulah terpendam’ terbaharu PH
MENTERI Luar, Saifuddin Abdullah mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sedang disabotaj oleh elemen gelap ‘daulah terpendam’ bagi menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Mengenali Saifuddin, beliau sentiasa bersandar kepada retorik bahasa yang mengungkap frasa-frasa yang luar biasa dan jarang ditemui bagi meningkatkan ketakjuban khalayak dan rakyat.
Daulah terpendam merupakan terjemahan langsung kepada frasa deep state yang menggambarkan situasi kegagalan pentadbiran awam yang demokratik akibat kewujudan kerajaan dalam kerajaan.
Kumpulan ini mampu mengetepikan keputusan dan kehendak kerajaan semasa; dan bertindak sebagai tangan-tangan ghaib bagi melaksanakan polisi dan agenda negara di luar proses pembuatan keputusan oleh kepimpinan kerajaan.
Sudah dua kali Saifuddin mengeluarkan amaran bahawa daulah terpendam mungkin cuba 'menggulingkan' kerajaan baharu melalui cara-cara yang tidak demokratik seperti rampasan kuasa.
Kali pertama sekitar April lalu apabila kerajaan membuat keputusan menarik diri daripada Statut Rom akibat bantahan keras penduduk beragama Islam dan Raja-raja Melayu.
Entah mengapa Saifuddin begitu kecewa dan terkilan dengan penarikan diri tersebut sehingga membuat kenyataan yang menggambarkan kegagalan pentadbiran PH sendiri.
Minggu lalu, Saifuddin sekali lagi membangkitkan isu daulah terpendam ini dengan menambah terdapatnya elemen gelap dalam daulah terpendam.
"Daulah terpendam memang wujud dan mereka mempengaruhi persepsi dan kami perlu bersedia secara strategik.
Mereka mungkin berada dalam kerajaan dan anda tidak tahu siapa mereka. Mereka ejen provokasi yang dibayar pihak tertentu untuk mencipta ketakutan dalam kalangan rakyat.”
Tampak Saifuddin seperti hilang rasionaliti dengan membuat dakwaan yang sukar ditanggapi kebenarannya.
Apa yang berlaku bukanlah kerana ada daulah terpendam atau tangan ghaib yang mensabotaj pentadbiran PH.
Hakikat ia dilontarkan ketika negara sedang berhadapan dengan kemelut politik parti pemerintah yang sangat serius menunjukkan agenda sebenar adalah untuk mendapat simpati dan menakutkan rakyat.
Namun rakyat dapat menonton dengan jelas pergelutan politik membabitkan pasukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pasukan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah dilontar atau diucapkan oleh pihak ketiga atau di luar kerangka kepimpinan utama PH.
Pergelutan ini memuncak apabila polis melakukan tangkapan ke atas beberapa orang kanan Anwar Ibrahim atas tuduhan mengedar video intim yang dikatakan ‘mirip’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Azmin kemudiannya secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada Dr Mahathir supaya kekal menjadi Perdana Menteri sehingga penggal ini berakhir.
Pasukan Dr Mahathir juga secara giat mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Parlimen di luar PKR dan DAP. Pas dan UMNO secara terbuka mengisytiharkan sokongan agar Dr Mahathir kekal sehingga tamat penggal Parlimen kali ini.
PH juga mensabotaj diri mereka dengan melantik para menteri yang tidak berkemampuan menjalankan tugas. Daripada Menteri Kewangan yang sedang meminjam berbilion ringgit setiap bulan sehinggalah kepada Menteri Ekonomi yang gagal memperbaiki pasaran saham dan matawang negara.
Projek-projek pembangunan diubah suai dan ditukar sesuka hati bagi memenuhi agenda politik memburukkan kerajaan lalu tanpa mengambil kira keperluan ekonomi sebenar. Hasilnya pelabur dan usahawan besar seolah-olah hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Jika Saifuddin jujur dan ikhlas menilai suasana pentadbiran negara hari ini tentulah beliau akan mengakui bahawa segala kecelaruan dan kekeliruan ini adalah berpunca daripada pemimpin PH sendiri; bukannya anasir luar atau dalaman yang bergerak secara tersusun membentuk daulah terpendam bagi mensabotaj kerajaan yang dipilih secara demokratik.
Kerajaan PH telah melantik Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melalui kriteria politik. Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri juga adalah lantikan politik PH.
Malahan ketua-ketua badan perisikan dan penyiasatan juga lantikan politik kerajaan hari ini.
Justeru, tidak mungkin negara ini mempunyai elemen daulah terpendam seperti dakwaan Saifuddin. Ini adalah penghujahan boogeyman yang bertujuan menutup kelemahan pentadbiran kerajaan hari ini.
Penghujahan boogeyman bermaksud mewujudkan sesuatu teori atau watak di luar realiti dan rasionaliti yang bertujuan menakutkan rakyat atau khalayak; dan meletakkan kesalahan ke atas pihak yang tidak dapat disahkan kewujudannya.
*AB JALIL BACKER ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!