Koperal lepas tembakan lerai pergaduhan rakan wanita di kelab malam
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat koperal ditahan selepas dipercayai melepaskan tembakan ke udara bagi meleraikan pergaduhan antara rakan wanitanya dengan individu lain di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.
Dalam insiden sekitar jam 5.25 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun itu pada mulanya ke kelab terbabit bersama seorang rakan lelaki dan empat rakan wanita pada jam 2 pagi untuk berhibur selepas tamat bertugas.
Sumber berkata, suspek bertugas di Balai Polis Jinjang di sini membawa sepucuk pistol bersamanya ketika datang ke kelab tersebut.
“Selesai berhibur, sebaik berada di luar kelab malam itu dia melihat pergaduhan di antara rakan wanitanya dengan beberapa orang yang tidak dikenali.
“Suspek kemudiannya melepaskan tembakan ke arah udara bagi meleraikan pergaduhan itu,” katanya.
Kata sumber lagi, selepas tembakan dilepaskan, semua yang terlibat melarikan diri dan pengawal keselamatan di kelab malam itu datang mengawal keadaan.
"Susulan itu, pistol tersebut telah dirampas pihak keselamatan kelab dan suspek diserahkan kepada pihak polis.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan tembakan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, suspek telah direman selama dua hari bagi siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!