Ajal dihempap traktor terbalik
BESUT - Seorang kontraktor binaan maut apabila traktor dipandunya terbalik lalu menghempap mangsa di Bukit Gong Pasir, Kampung Oh dekat Jabi di sini petang semalam.
Dalam nahas yang berlaku sebelum jam 5 petang itu, Mat Isa Hamat, 59, dari Kampung Oh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 7.15 malam selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa traktor dipandu mangsa dari arah rumah mangsa Gong Pasir menghala ke kebun durian melalui jalan berbukit di kawasan hutan.
“Apabila sampai di tempat kejadian traktor tersebut dipercayai terbabas ketika menaiki sebuah bukit curam.
“Traktor tersebut terbalik di atas jalan itu lalu menghempap mangsa menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah traktor tersebut kira-kira jam 9 malam dengan bantuan sebuah jentolak,” katanya.
Mohd Zamri berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
Tambah Mohd Zamri, kejadian disedari isteri mangsa selepas meminta pekerja mereka pergi mencari suaminya yang tidak pulang ke rumah sehingga jam 5 petang selepas keluar sejak sebelah pagi semalam.
“Kebiasaannya mangsa dikatakan pulang waktu Zohor tetapi semalam selepas Asar mangsa tidak pulang dan telah menimbukan kebimbangan isterinya lalu meminta pekerja mereka pergi mencari mangsa.
“Apabila tiba di sana, pekerja mangsa mendapati kejadian sudah berlaku dan mangsa sudah meninggal dunia di bawah traktor tersebut,” katanya.
Mohd Zamri berkata, kedudukan lokasi kejadian dengan jalan kampung terletak kira-kira 1 kilometer dan pegawainya terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berjalan kaki separuh jalan untuk ke situ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!