Isteri Presiden Syria bebas kanser payudara
BEIRUT - Isteri kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, Asma Assad telah sembuh sepenuhnya daripada barah payudara.
Berita gembira itu dikongsikan beliau menerusi stesen TV tempatan kira-kira setahun selepas Asma mengumumkan tentang penyakit tersebut.
Ogos tahun lalu, pejabat presiden berkongsi gambar Asma yang sedang tersenyum di sisi suaminya ketika menjalani rawatan untuk tumor malignan yang berjaya dikesan pada peringkat lebih awal.
"Perjalanan saya untuk segala kesakitan dan keperitan ini sudah berakhir. Bersyukur kepada Tuhan kerana segalanya sudah sampai ke penghujung. Saya sudah sembuh sepenuhnya daripada barah," ujarnya.
Menurut wanita pertama berusia 44 tahun itu, beliau menerima rawatan kemoterapi dan turut menjalani pembedahan di sebuah hospital tentera Syria.
Menerusi wawancara itu, Asma juga menyatakan rasa amat bertuah kerana mendapat sokongan kuat keluarga terutama suaminya.
"Sudah tentu beliau sentiasa berada di sisi saya," jelasnya merujuk kepada al-Assad.
Sebelum ini, Asma sering dikecam banyak pihak kerana didakwa mengamalkan gaya hidup yang mewah walaupun negara itu berdepan konflik yang berlarutan sejak 2011. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!