Jadikan qiamullail sebagai amalan kita
SEBAGAI umat Islam, kita digalakkan untuk melakukan qiamullail kerana banyak kelebihan yang dijanjikan-Nya.
Walaupun hukumnya ialah sunat, namun Islam meletakkan nilai qiamullail sangat tinggi dalam kehidupan manusia kerana ganjaran yang dikurniakan berbeza dengan ibadah lain.
ALLAH SWT berfirman: "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (Surah as-Sajadah, ayat 16)
Keutamaan qiamullail juga ada disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW.
Sabda baginda SAW: "Solat yang paling utama setelah solat fardu iaitu qiamullail atau solat pada tengah malam." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perkataan qiamullail bermaksud menghidupkan malam iaitu dengan cara seperti solat dan membaca al-Quran.
Ramai yang menganggap qiamullail hanyalah solat selepas tidur.
Sebenarnya salah tanggapan itu kerana solat malam terbahagi kepada dua iaitu solat sebelum tidur dan solat selepas tidur.
Kedua-duanya tetap dipanggil qiamullail, namun solat selepas tidur ialah qiamullail yang termasuk dalam kategori tahajud.
Cuma solat yang dilakukan sebelum tidur itu kualitinya tidak sama seperti solat tahajud yang dilakukan selepas bangun daripada tidur.
Dalam hal itu, Rasulullah SAW terkenal dengan amalan qiamullail.
Bilakah waktu baginda SAW menunaikannya?
Rasulullah SAW bangun pada satu pertiga malam kerana pada waktu itu sebenarnya ALLAH SWT akan turun ke dunia untuk mendengar pengaduan dan doa hamba-hamba-Nya.
Itu merupakan saat terbaik untuk melakukan amal ibadah dan berdoa kepada ALLAH.
Tidak semua orang mampu melakukannya kerana asyik melayan lena masing-masing.
Jika tidak mampu, cubalah lakukan qiamullail sebelum tidur dan jadikan ia sebagai rutin harian kita.
Semoga segala amal kita akan diterima oleh-Nya dan mendapat keberkatan ALLAH SWT.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!