Empat nelayan terselamat bot terbalik

Empat awak-awak bot terbalik berjaya menyelamatkan diri sebelum menunggu bantuan APMM.
Empat awak-awak bot terbalik berjaya menyelamatkan diri sebelum menunggu bantuan APMM.
A
A
A

BATU PAHAT – Empat nelayan tempatan berdepan detik cemas selepas bot nelayan tempatan dinaiki mereka terbalik ketika keluar mencari ikan pada kedudukan kira-kira 9.5 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor di sini awal pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu kesemua mangsa dilaporkan keluar untuk menangkap ikan.

“Pada awalnya mereka dijadualkan pulang pada hari ini dan semasa kejadian tali pukat bot mereka telah tersangkut pada sebuah kapal dagang yang melalui kawasan tersebut dan mengakibatkan bot tersebut gagal dikawal lalu terbalik.

“Bagaimanapun empat awak-awak berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan menunggu bantuan di atas bot yang terbalik itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas menerima maklumat kejadian, APMM Zon Batu Pahat telah menggerakkan dua buah bot bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa.

Katanya, kesemua mangsa yang berumur di antara 28 hingga 49 tahun itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut.

“Kami mengingatkan nelayan agar sentiasa menyediakan peralatan keselamatan secukupnya dan memastikan keadaan bot dalam keadaan baik sebelum turun ke laut kerana dikhuatiri keadaan cuaca buruk sejak kebelakangan ini.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Batu Pahat pada talian 07-4344020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!