Mujahid patut nasihatkan DAP, bukan Pas-UMNO
KOTA BHARU - Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mengkritik Pas dan UMNO berhubung isu tulisan jawi dan khat dalam buku teks di semua sekolah disifatkan sebagai pelik.
Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, menteri agama itu sepatutnya menasihatkan DAP yang yang cuba menghalang usaha kerajaan, bukannya mengaitkan Pas dan UMNO seolah-olah cuba membangkitkan isu itu demi kepentingan politik.
"Macam mana dia boleh beranggapan yang Pas dan UMNO akan ambil kesempatan dan jadikan ia modal untuk menghentam kerajaan Pakatan Harapan (PH)?
"Orang Pas dan UMNO bersuara marahkan DAP kerana cuba menghalang usaha kerajaan ini. Yang nak sekat itu DAP, bukan kami.
"Kita ingatkan apabila pemimpin Amanah (Parti Amanah Negara) bersuara, beliau akan tegur DAP supaya duduk diam-diam ataupun jangan masuk campur tetapi Pas dan UMNO pula kena marah. Sangat ganjil sungguh," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dua hari lalu, Mujahid menyifatkan pembangkang sengaja mengambil isu tersebut dan mengaitkan dengan Melayu serta Islam.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, sepatutnya isu tulisan jawi dan khat itu tidak dilihat dari sudut politik kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah memberi penegasan dalam hal tersebut secara jelas.
Kelmarin, Tun Dr Mahathir menegaskan keputusan memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat bagi mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di semua sekolah bermula tahun depan kekal.
Sementara itu, Che Abdullah berkata, usaha dilakukan kerajaan tidak boleh dilihat sebagai satu diskriminasi kaum mahupun mempunyai agenda terselindung.
Katanya, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga bersedia mempertimbangkan saranan daripada masyarakat Tionghoa untuk memperkenalkan kaligrafi kaum lain sebagai sukatan pelajaran di negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN Tulisan jawi: UMNO, Pas jangan cari modal politik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!