Sarang penagih dadah terbakar
BUKIT BERUNTUNG - Sebuah rumah tidak berpenghuni yang disyaki menjadi sarang penagih dadah di Apartmen Kenangan dekat sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Penolong Penguasa Shahrin Jasmi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 pagi.
Menurutnya, sembilan anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian melibatkan sebuah rumah di tingkat tiga bangunan berkenaan.
"Kebakaran hanya melibatkan perabot lama yang berada di ruang tamu dan tidak melibatkan struktur rumah.
"Namun api telah padam sebelum pihak bomba sampai dan pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api.
"Tiada mangsa tercedera dalam kejadian tersebut," katanya.
Sementara itu menurut jiran berdekatan, rumah berkenaan tidak berpenghuni namun sering dimasuki beberapa individu disyaki penagih dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!