Pemilihan kepimpinan kali pertama PKR Tanjung Piai
PONTIAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tanjung Piai mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya proses pemilihan kepimpinan peringkat cabang itu bakal berlangsung pada 16 Ogos ini.
Ketua penaja, Rosman Tahir berkata, ia berikutan kelewatan penubuhan cabang berkenaan yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) Mei lalu, selepas surat permohonan dihantar pada September tahun lepas.
Menurutnya, pimpinan pusat meminta PKR Cabang Tanjung Piai melakukan pemilihan jawatankuasa selepas ditubuhkan bagi memilih 18 jawatankuasa tertinggi peringkat cabang selain sayap wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
"Penamaan calon sudah dilakukan pada Sabtu lepas dengan tiga calon bertanding bagi jawatan ketua cabang. Saya turut bertanding di samping dua lagi calon iaitu Mohd Zaiful Bakri dan Ismail Zailani.
"Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Pua Wee Tse hadir ketika sesi penamaan calon dilakukan di sebuah hotel di bandar Pontian," katanya.
Menurut Rosman, bagi ketua wanita dan ketua AMK, kedua-dua jawatan tersebut menang tanpa bertanding, masing-masing oleh Marlina Ismail dan Zazali Nordin.
Dijangka lebih 500 ahli PKR Cabang Tanjung Piai yang berdaftar akan membuang undi pada 16 Ogos ini di Dewan Jubli Intan Pontian.
"Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ahli cabang PKR Tanjung Piai yang berdaftar cuma dua orang sahaja.
"Bilangan ahli terus meningkat secara mendadak selepas PRU14," katanya.
Ditanya misi dan visi beliau menyertai pertandingan bagi jawatan ketua cabang, Rosman berkata, beliau menaruh harapan untuk memastikan perubahan dalam PKR yang disertainya sejak 20 tahun lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!