Isu Lynas: 'Cukup-cukuplah kelirukan rakyat'
KUANTAN - Semua pihak khususnya mereka yang menentang Lynas perlu menerima hakikat kilang memproses nadir bumi milik Lynas Corporation Ltd (Lynas) untuk beroperasi di Gebeng sejak tujuh tahun lalu itu tidak membawa kesan negatif seperti dijangkakan dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, hakikat sebenarnya perlu diakui Lynas memberi sumbangan dalam aspek ekonomi hiliran kepada masyarakat setempat termasuk peluang pekerjaan, justeru setiap dakwaan atau keputusan dibuat perlu berasaskan data dan fakta tepat.
Menurutnya, dalam isu Lynas itu beliau mendapati segala andaian dan tohmahan dibuat pada awal kilang itu beroperasi jelas tidak tepat dengan realiti semasa yang berlaku hari ini.
“Cukup-cukuplah kelirukan rakyat dengan fakta tidak tepat dalam isu Lynas. Semua pihak terutama mereka yang menentang kena akui Lynas tidak mendatangkan kesan negatif seperti yang kita jangka berlaku dulu.
“Pada saya tentangan terhadap operasi Lynas hari ini tidak ada asas apatah lagi ketika ini ramai anak tempatan mendapat peluang bekerja di sana untuk menyara diri dan keluarga masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Andansura berkata, kerajaan perlu bergerak ke hadapan untuk menyelesaikan isu yang timbul termasuk aspek pengurusan sisa buangan kilang itu yang menjadi polemik kini.
“Kita akui aspek itu perlu diuruskan dengan baik namun bukan mendesak Lynas menutup operasi atau keluar dari negara ini.
“Tidak patutlah layan Lynas seperti itu. Kalau nak tutup, tutup terus.Tak perlu nak beri pelbagai alasan lagi kerana mereka berada dalam kerajaan hari ini," katanya.
Beliau berkata, realitinya kerajaan memang tidak mampu untuk menutup operasi Lynas kerana dalam kalangan mereka sendiri tidak sependapat dalam isu ini.
Pada 31 Mei lalu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di negara ini sekaligus menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang berkenaan.
Bagaimanapun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin semalam memberitahu, nasib kilang Lynas bergantung kepada keputusan Kabinet sama ada kilang nadir bumi dari Australia itu dibenarkan memperbaharui lesen operasinya yang akan diketahui 15 Ogos ini.
Semalam, Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu membenarkan kilang Lynas beroperasi di negara ini adalah kerana diperdaya dan ditipu berikutan menyangkakan ia adalah satu industri yang strategik.
Menurutnya, Malaysia sebelum ini berpendapat kewujudan kilang nadir bumi itu akan memberi manfaat dan kebaikan kepada negara tetapi hakikatnya berlaku sebaliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Lynas: Kerajaan tersepit kerana pinjaman Jepun, kata Fuziah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!