Maut terbakar terperangkap dalam kontena

Anggota bomba memadamkan kebakaran. -Foto Bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran. -Foto Bomba
A
A
A

LABIS - Seorang lelaki maut selepas kontena yang dijadikan pejabat sebuah syarikat mencuci kereta automatik di Jalan Labis-Segamat di sini terbakar pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Appandi Khalid berkata, mangsa Tan Boon Giap, 57, yang merupakan penyelia syarikat berkenaan terperangkap di dalam bangunan kontena tersebut selepas gagal menyelamatkan diri.

"Mangsa ditemui dalam keadaan rentung kira-kira dua kaki dari pintu keluar dan mengikut keterangan para pekerja di syarikat tersebut, mereka hanya menyedari bangunan berkenaan terbakar selepas melihat asap tebal dan api marak keluar dari kontena tersebut.

"Tiada bunyi letupan atau jeritan meminta tolong dari kontena tersebut dan kebakaran berkenaan juga turut mengakibatkan kira-kira 80 peratus struktur bangunan tersebut hangus terbakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis menerima panggilan kecemasan pada jam 9.55 pagi sebelum lapan anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, disebabkan keadaan api yang marak, pihaknya mendapat bantuan dari BBP Bandar Baru Segamat dengan sembilan anggota dan dua jentera bagi mengawal api daripada merebak ke struktur bangunan yang lain.

"Setakat ini, punca kebakaran, kematian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.45 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!